Nga Kor Ming.-Foto AFFAN FAUZI, 09 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyokong arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya untuk mencetak satu juta al-Quran.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, tindakan tersebut sebagai tepat bagi membalas tindakan biadab ahli politik Sweden Rasmus Paludan membakar al-Quran.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, arahan itu jelas menunjukkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar adalah sebuah kerajaan yang membina.

“Bila orang lain cuba rosak dan meroboh, Kerajaan Perpaduan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim membina.

“Tindakan tepat dan pantas. #MalaysiaMadani #strongertogether,” ciap Kor Ming di Twitter sambil berkongsi sebuah poster berkaitan arahan Perdana Menteri itu.

Anwar semalam mengarahkan serta-merta operasi mencetak sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia.

Ia sebagai reaksi balas kepada tindakan biadab Paludan membakar al-Quran di Sweden baru-baru ini.

Proses cetakan al-Quran itu akan dilaksanakan Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14 bermula serta-merta.

“Dia (Rasmus Paludan) bakar satu al-Quran, tapi insya-Allah melalui Yayasan Restu kita akan berusaha secara berperingkat untuk mengeluarkan satu juta al-Quran.

“Saya setuju bahawa cara paling berfaedah untuk menjawab kerja-kerja gila dan biadab ini adalah dengan meneruskan usaha yang sudah dimulakan dan bertekad dalam masa singkat secara berperingkat untuk mencetak dan mengedar satu juta al-Quran ke seluruh dunia.

“Itu jawapan terbaik bagi menghadapi kegilaan orang ini. Insya-Allah, al-Quran ini bukan sahaja diedar untuk bacaan tetapi dijadikan bahan untuk dihayati,” katanya ketika ditemui selepas melawat operasi pencetakan al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran.

Menurut Anwar, Malaysia serta kerajaan Islam dan dunia Islam membantah keras kegilaan manusia dan haiwan ini yang sanggup membakar kitab suci.

Paludan dilaporkan menerima permit daripada Kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu di hadapan bangunan kedutaan Turkiye.

Tindakan itu disebabkan Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan terhadap penyertaan Sweden dan Finland ke dalam NATO.

Paludan ahli politik yang juga pemimpin kumpulan antipendatang dan anti-Islam Hard Line.-MalaysiaGazette