KUALA LUMPUR – Co-opbank Pertama (CBP) menjalinkan kerjasama bersama PR1MA menerusi Skim CBP MyPR1MA bagi membantu golongan pertengahan untuk memiliki kediaman impian mereka di seluruh negara.
Skim ini membolehkan pembeli rumah PR1MA mendapatkan pembiayaan sehingga 110% termasuklah pembiayaan perumahan, kos guaman dan takaful daripada CBP di seluruh negara.
“Selain itu, menerusi skim ini juga, pembeli rumah PR1MA juga tidak perlu membayar wang pendahuluan. Ianya selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat di negara ini memiliki kediaman sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau hadir ke Sesi Penukaran Dokumen Persetujuan Kerjasama Strategik Skim Rumah CBP MyPR1MA , di Ipoh Perak.
Menurutnya, menerusi Skim CBP MyPR1MA ini, para pembeli rumah boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 110% iaitu termasuk pembiayaan perumahan serta perlindungan takaful dan takaful kebakaran.
Katanya kadar keuntungan yang ditawarkan juga adalah sangat kompetitif sama seperti institusi kewangan lain di pasaran dan antara kelebihan jika orang ramai mendapatkan pembiayaan di CBP adalah pembiayaan sehingga 110% yang dapat memberi perlindungan risiko komprehensif yang amat bermanfaat terutama kepada pembeli rumah pertama.
CBP turut menawarkan pelbagai pembiayaan perumahan termasuklah Pembiayaan Al-Amali (rumah dan lot kedai), Pembiayaan Ar- Rahah (pembiayaan tanah) dan juga CBP Rumah Pertamaku. – MalaysiaGazette