KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar membidas dakwaan kononnya beliau dihadapkan dengan 16 pertuduhan oleh Lembaga Disiplin parti hingga menyebabkan keahliannya digantung sehingga enam tahun.
Sebaliknya Noh menegaskan, beliau hanya dihadapkan dengan tiga pertuduhan sahaja oleh Lembaga Disiplin UMNO berdasarkan surat yang diterimanya untuk menghadiri prosiding pendengaran pada 30 Januari ini.
“Saya amat kecewa dengan kenyataan Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengatakan 16 pertuduhan. Ini tidak pernah dinyatakan, apatah lagi dimaklumkan kepada saya. Surat yang saya terima hanya tiga pertuduhan.
“Penyebaran maklumat palsu di saat-saat ini hanya akan mengeruhkan keadaan. Jangan menegakkan benang yang basah.
“Saya sepatutnya menghadiri bicara dengan lembaga disiplin pada 30 hari bulan ini (30 Januari 2023), Isnin,” katanya dalam ciapan dan video berdurasi dua minit 20 saat di Twitter miliknya, semalam.
Jumaat lalu, Megat yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu menjelaskan, penggantungan keahlian Noh dalam UMNO disebabkan 16 pertuduhan kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Megat berkata, tindakan parti bukannya disebabkan beliau tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
Jelas Megat, antara tindakan sabotaj terbabit membabitkan soal calon yang ditampilkan untuk mewakili parti di kerusi Parlimen Tanjong Karang ketika PRU15.
Noh juga mempersoalkan Megat yang mendakwa salah satu dari tiga pertuduhan dihadapinya kerana bersengkongkol dengan bekas pegawai khasnya bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Tanjong Karang.
“Datuk Muslimin Yahya dulu merupakan pegawai khas kepada Datuk Seri Zahid pada PRU14, dia bertanding sebagai calon Bersatu, YB Muslimin menang pada masa itu.
“Persoalannya, kalau nak kaitkan dengan pegawai khas saya, mengapa tidak Datuk Zahid, kalau nak dituduh adakah dia di belakang YB Muslimin sebab Muslimin bekas pegawai khas dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette