SINGAPURA- Projek keretapi laju (HSR) Malaysia-Singapura mungkin dibincangkan dalam pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, esok.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjelaskan, hal-hal berkaitan projek infrastruktur dan perjanjian sedia ada pastinya menjadi agenda utama perbincangan kedua-dua pemimpin berkenaan.
“Mungkin ada cadangan dari Singapura dan Malaysia mengenai perkara-perkara yang boleh dirundingi semula tetapi itu tertakluk kepada Perdana Menteri dan perbincangan beliau bersama rakan sejawatnya.
“Saya tidak boleh kata secara pasti sama ada ia (projek HSR) dibincangkan atau tidak (esok),” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Menurut Zambry, dalam hal berkaitan Kementerian Pengangkutan, projek Sistem Transit Rapid (RTS) menjadi keutamaan kerajaan.
Ini kerana projek berkenaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang Disember 2026.
“RTS akan memberi impak yang baik dari segi pergerakan dari Malaysia ke Singapura,” katanya lagi.
Sistem transit pantas rentas sempadan membabitkan laluan kira-kira empat kilometer itu dapat menjimatkan masa termasuk perjalanan dan pelepasan imigresen.
Ia menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru ke Stesen Woodlands North di Singapura, ia dianggarkan mengambil masa sekitar 15 minit untuk perjalanan, termasuk pelepasan imigresen.- MalaysiaGazette