KUALA LUMPUR – Sama ada naratif tindakan tegas UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpin tersohornya boleh diterima oleh akar umbinya atau sebaliknya, akan dilihat pada keputusan pemilihan parti tidak lama lagi.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, jika calon-calon yang pro Presiden UMNO yang mengisi jawatan-jawatan yang dipertandingkan bermakna tindakan parti ini diterima oleh ahli-ahlinya.
Seandainya, yang mengisi jawatan-jawatan berkenaan adalah kumpulan anti presiden bermakna kemelut parti ini akan berpanjangan.
“Ini adalah kesan jangka pendek yang boleh kita lihat sama ada ahli-ahli boleh menerima tindakan UMNO memecat dan menggantungkan beberapa pemimpin-pemimpin tersohornya.
“Memang diakui naratif tindakan UMNO pada Jumaat lalu tidak dapat diterima oleh sebahagian ahli UMNO walaupun parti telah menerangkan asas kepada keputusan tersebut.
“Penerangan sudah jelas, cuma naratif penerimaan penyokong (pemimpin) yang berbeza. Jadi hendak tahu sama ada kemarahan ahli-ahli UMNO reda atau semakin meningkat, tunggulah pemilihan parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Azmi menambah, kesan jangka panjang pula semasa Pilihan Raya Negeri diadakan nanti.
Pada ketika itu, jelas beliau, penyokong-penyokong akan membuat justifikasi terhadap tindakan UMNO yang melakukan pembersihan dalam parti tersebut.
Menurut beliau, jika calon-calon UMNO masih disokong bermakna orang Melayu menerima tindakan kepimpinan parti berkenaan, namun jika sebaliknya bermaksud mereka melihat parti itu semakin lemah.
“Kalau itu berlaku, orang Melayu mungkin beralih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Pas.
“Jika itu berlaku maka pada PRN nanti akan berlaku ‘penghijrahan’ sokongan penyokong UMNO sekali lagi,” ujar beliau.
Jadi, Azmi berkata, untuk memastikan UMNO terus kuat, ‘orang presiden’ perlu menang pada pemilihan nanti.
Namun, jika kumpulan anti-presiden yang menguasai pemilihan nanti, kelemahan UMNO akan lebih menyerlah, katanya. – MalaysiaGazette