KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sedia membuka pintu kepada semua ahli UMNO yang dipecat dan digantung oleh parti mereka Jumaat lalu.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, pihaknya berlapang dada menerima sesiapa sahaja yang berhasrat menyertai parti ini asalkan Melayu, pribumi dan beragama Islam.
Katanya, yang ada kes jenayah, sedang didakwa atau dalam perbicaraan dan belum dibebaskan oleh mahkamah, tidak diterima.
“Bekas ahli UMNO wajar pilih Putra kerana semangat asal penubuhan parti ini adalah untuk menjadi wadah parti pilihan kepada orang Melayu sebagai kesinambungan perjuangan nasionalisma Melayu-Islam.
“Perjuangan ini terbantut dan terhalang akibat keruntuhan nilai kepimpinan bersih dan suci akibat salah guna kuasa dan rasuah oleh pemimpin UMNO dan penyokong mereka yang selama ini menjadi tonggak perjuangan umat Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kata Ibrahim, perlembagaan dan matlamat Putra juga hampir 100 peratus sama dengan UMNO yang bersimbolkan tanjak melambangkan kepahlawanan Melayu dan budaya bangsa.
Menurutnya, lebih mudah membina kekuatan dan belayar dengan bahtera baharu daripada kapal (parti UMNO) yang sudah rosak teruk.
Jelas beliau, walaupun Putra masih kerdil dan kalah teruk dalam percubaan pertama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, namun ianya adalah parti yang amat segar dari segi semangat, nama dan simbolnya.
Justeru, kepada mereka yang kena pecat dari parti asal masing-masing, yang tidak berparti, kecewa dan tiada wadah untuk berjuang sertailah Putra.
“Insya- Allah, Putra juga boleh menjadi Parti yang kuat, sedangkan UMNO makin lesu dan terpalit dengan pelbagai isu yang tidak mudah untuk dipulihkan dan payah untuk mendapat kembali keyakinan rakyat.
“Bagi yang beranggapan Putra sukar mendapat sokongan atau undi bukan Melayu, apakah mutakhir ini UMNO/BN, Pas dan parti Bersatu mendapat undi bukan Melayu terutama dari kaum Cina dan sokongan besar dari kaum India?
“Jawabnya tidak juga, walaupun mereka menuruti pelbagai kemahuan kaum bukan Melayu, malah bercakap berlapik lidah apabila menyentuh kaum besar kepala ini, namun undi tetap tidak dapat juga dan ditolak bulat-bulat oleh kaum bukan Melayu,” kata beliau.
Ibrahim yang dipecat dari UMNO pada 2003 menjelaskan, jika Melayu bersatu teguh seperti UMNO dahulu, kaum lain tiada pilihan melainkan menyokong parti Melayu.
Natijahnya, orang Melayu tidak boleh lagi mendokong parti yang sudah banyak masalah dan penyakit, maka Putra sahaja mampu menjadi pilihan baharu bagi orang Melayu.
Katanya, Putra bersedia berada di belakang dan muka baharu yang yakin dengan parti itu boleh mengambil tempat dalam kepimpinan parti.
“Bagi yang sudah berada dalam Putra terutama pengasas parti ini, kami bersedia memberi laluan dan akan menyokong serta bekerja keras untuk mencapai kemenangan dalam perjuangan ini. – MalaysiaGazette