SINGAPURA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai kesudian Singapura berbincang beberapa isu penting yang sudah tertunggak sejak sekian lama.
Beliau dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong berpeluang berbincang mengenai isu air bagi memastikan bekalan mencukupi kepada Johor dan Singapura dengan perkiraan baharu.
“Kita ucap terima kasih pada kesediaan Singapura yang membuka pintu rundingan yang akan beri ruang kepada bekalan air mencukupi untuk Johor dan Singapura. Namun ia perlu dibincangkan dengan kerajaan Pahang, Johor dan Kerajaan Persekutuan,” katanya semasa sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.
Selain itu, kedua-dua pemimpin itu juga berbincang mengenai ruang lintas udara.
Ujar beliau, kedua-dua negara sepakat untuk menetapkan kawasan yang harus menjadi hak mutlak Malaysia dengan Singapura.
“Namun, kita sedia berbincang supaya laluan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Changi tidak diganggu bagi laluan penerbangan republik itu,” katanya.
Berhubung kesesakan di Tambak Johor yang kritikal, kedua-dua negara, menurut Anwar bersetuju supaya ia dibaiki sementara kerajaan sedang dalam usaha memperkenalkan sistem digital lebih canggih.
“Sementara itu, Malaysia setuju beri kemudahan tambahan pada hujung minggu dan waktu puncak bagi melancarkan perjalanan pekerja Malaysia masuk dan balik dari Singapura dengan kemudahan paling maksimum oleh Jabatan Imigresen dan Kastam,” kataya.
Tambah Anwar, beliau tidak mahu lagi mendengar rungutan rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung beban dan membuang masa lama untuk melalui Tambak Johor setiap hari.-MalaysiaGazette