PETALING JAYA – Bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bertegas tidak akan merayu terhadap pemecatannya daripada parti itu.
Beliau berkata, sebarang langkah untuk membuat rayuan tidak akan membuahkan hasil selagi pihak yang memecatnya masih berada dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Merayu bermakna merayu kepada entiti sama yang memecat saya serta-merta.
“Saya hanya mahu pertandingan secara terbuka untuk (dua) jawatan tertinggi susulan prestasi buruk UMNO pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya dalam program Breakfast Grille bersama BFM hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau tidak berdendam dengan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan masih menganggapnya sebagai rakan.
Sementara itu, Khairy mempertahan tindakan mengkritik kepimpinan UMNO sepanjang berkempen Pilihan Raya Umum ke-15.
Katanya, beliau bertindak demikian dengan hasrat untuk meyakinkan pengundi terhadap parti itu.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tuduhan dibuat terhadapnya sehingga dipecat daripada UMNO sebagai tidak adil.
Khairy menambah, beliau tidak mahu pengundi hilang harapan terhadap UMNO berikutan di kawasan bandar sokongan terhadap UMNO semakin merosot.
Katanya, kenyataan dalam kempen pilihan raya itu adalah satu mesej yang positif yang disampaikan bagi meraih sokongan pengundi dan mengembalikan kredibiliti UMNO.
“Saya tidak nampak bagaimana mesej positif seumpama itu bertujuan memahamkan orang ramai mengenai UMNO dan memulihkan keyakinan umum kepada kredibiliti parti dianggap satu yang negatif.
“Saya tidak merasakan tuduhan yang dikenakan adil sama sekali apabila saya cuba menyatakan UMNO dapat memberikan sesuatu yang lebih baik pada masa depan dan memberitahu saya sebagai generasi baharu parti bakal mengubah dan membuat reformasi kepada UMNO,” tambahnya.
Khairy dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu dalam mesyuarat yang dilakukan oleh Majlis Kerja Tertinggi yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette