SINGAPURA- Malaysia berharap rundingan bersama Singapura berhubung isu-isu tertunggak termasuk melibatkan persempadanan semula maritim dan maklumat penerbangan serantau (FIR) diuruskan secara menang-menang dan tidak hanya menguntungkan sebelah pihak.
Harapan itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ketika bertemu rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan di sini, malam tadi.
“Saya berkeyakinan kedua-dua pihak akan terus membincangkan hal-hal berkaitan isu-isu yang disebutkan tadi dalam konteks yang konstruktif dan secara produktif.
“Ini sangat penting untuk kedua-dua negara yang selama ini banyak persamaan dan sama-sama mempunyai harapan untuk melihat rantau kita ini dalam keadaan yang baik untuk.
“Maka rundingan perlu diadakan dengan baik supaya memberi situasi menang-menang kepada semua pihak,” katanya semasa majlis ramah mesra bersama media Malaysia, malam tadi.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia pada majlis ramah mesra media, di sini, malam tadi.
Hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura atas jemputan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong.
Ini adalah lawatan rasmi sulung Perdana Menteri ke Singapura selepas dilantik pada 24 November tahun lalu.
Perdana Menteri dijadualkan bertemu pemimpin Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob dan Hsien Loong, selepas sambutan rasmi negara di Istana Singapura. -MalaysiaGazette