Chang Lih Kang (dua dari kanan belakang) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) National Institutes of Biotechnology (NIBM) dengan wakil daripada Pfizer Malaysia Sdn Bhd, Luksunawan Thangpaibool dan Rashidah Ibrahim (wakil MVP).

KAJANG – Malaysia bakal menjadi pengeluar vaksin manusia menjelang 2030 sebagai persediaan menghadapi pandemik pada masa depan.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Chang Lih Kang, sasaran itu disokong dengan kerjasama yang dimeterai antara National Institutes of Biotechnology (NIBM) melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), dengan MVP Healthcare Sdn Bhd dan Pfizer Malaysia Sdn Bhd.

Dengan kerjasama ini Malaysia akan membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dan tidak perlu lagi hanya bergantung kepada pengeluar vaksin luar negara.

Malah, Malaysia juga berpotensi untuk membekalkan vaksin kepada negara luar kelak.

”Buat masa ini kita mahu membangunkan kapasiti terlebih dahulu, sebelum menentukan jenis vaksin yang akan kita hasilkan.

“Ini merupakan perkembangan yang positif untuk negara bagi membangun kapasiti mengeluarkan vaksin manusia dalam negara ini,” katanya ketika sidang media selepas menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak tersebut.

Menurut beliau, ketiga-tiga pihak berkenaan akan menerokai potensi projek bersama bagi merancakkan pembangunan ekosistem vaksin tempatan.

”Memang akan ada penjimatan tapi ada satu sudut lagi penting iaitu keselamatan vaksin sendiri untuk negara.

”Kalau kita perasan sewaktu pandemik bermula kita bergantung dengan negara luar. Kalau kita jadi pengeluar, kita keluarkan vaksin sendiri.

Kerjasama ini  merupakan salah satu usaha untuk menyokong Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di bawah Teras Penjagaan Keshatan dan Kesejahteraan.

Untuk rekod, 1 November 2021 kerajaan memberi mandat kepada NIBM-MGVI untuk menyelaraskan usaha dan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&R) vaksin manusia.-MalaysiaGazette