Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana, Singapura. 30 Januari 2023 Foto kredit: PMO

SINGAPURA- Malaysia mahu kesan terhadap penambakan di kawasan Batu Puteh yang dilakukan Singapura diteliti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Malaysia akur terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) impak penambakan terhadap kawasan itu terhadap alam sekitar dan persempadanan perlu diperincikan.

“(Kita akur) keputusan ICJ meletakkan kawasan Batu Puteh sebagai milik Singapura. Bagi mereka (Singapura), penambakan tidak salah tetapi apabila ada penambakan kita perlu teliti sama ada ia memberi kesan terhadap alam sekitar atau persempadanan.

“Hal itu harus dimuktamadkan dan saya telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Singapura untuk mendengar hujah kita dalam masa terdekat,” katanya semasa sidang media bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Anwar dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke republik ini hari ini.

Terdahulu semasa berucap dalam pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura, Anwar  tetap menyuarakan ketidakpuasan hati Malaysia terhadap keputusan ICJ.

Katanya, pendirian itu mesti disuarakan kerana ia melibatkan isu kedaulatan negara.

“Singapura memberitahu kita yang mereka faham ‘kesakitan’ yang dialami Malaysia. Apakah kita perlu berperang berebutkan Batu Puteh? Pastilah tidak.

“Tetapi kita perlu merundingkan isu-isu alam sekitar termasuk projek yang memberi impak kepada alam sekitar, kedaulatan dan sempadan Malaysia,” katanya lagi.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata beliau mahukan supaya rundingan itu dilakukan secara baik antara dua negara sahabat.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast