Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana, Singapura. 30 Januari 2023 Foto kredit: PMO

SINGAPURA- Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyifatkan pertemuannya dengan rakan sejawat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, membuahkan hasil termasuk dalam menyelesaikan isu-isu tertunggak di antara kedua-dua negara.

Beliau yakin situasi menang-menang dapat dicapai sekiranya kedua-dua negara terus bekerja secara konstrukif.

Untuk rekod, antara isu tertunggak yang dibincangkan hari ini adalah melibatkan maritim dan maklumat penerbangan serantau (FIR).

“Sebagai rakan dan jiran yang rapat, pastinya takdir Singapura dan Malaysia akan saling berkait.

“Jika kita bekerjasama secara konstruktif, pastinya kita boleh menghasilkan situasi menang-menang yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan di kedua-dua negara.

“Saya yakin dengan sokongan Anwar, hubungan Singapura-Malaysia akan mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap dalam majlis makan tengahari rasmi di Istana, Singapura hari ini.

Majlis makan tengahari itu diadakan sempena lawatan rasmi pertama Anwar ke republik berkenaan hari ini.

Terdahulu, Hsien Loong dan Anwar menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Rangka Kerja Bagi Kerjasama Digital dan Rangka Kerja Bagi Kerjasama Ekonomi Hijau antara Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan rakan sejawatnya di Singapura, Gan Kim Yong.

Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan pemeteraian MoU bagi Mempromosikan Perlindungan Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital di antara Kementerian Komunikasi Digital dengan Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura.

Malaysia diwakili Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil manakala Singapura diwakili Menterinya, Josephine Teo.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast