SINGAPURA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura hari ini.
Beliau yang tiba di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi kira-kira 9.40 pagi tadi disambut Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Jadual padat menanti perdana menteri dalam rangka lawatan sehari itu bermula dengan sambutan rasmi yang diadakan di Istana.
Anwar tiba di Istana kira-kira 11.10 pagi diberi sambutan rasmi kehormat sebelum melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob.
Beliau juga diberi penghormatan untuk menamakan spesies orkid hibrid sebagai ‘Dendrobium Anwar Azizah’.
Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong selepas menerima spesis hibrid anggerik baharu dinamakan sempena nama beliau di Istana, Singapura hari ini.
Foto kredit: Nur Ain Shafinas | BERNAMA, 30 Januari 2023.Anwar dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong turut mengadakan pertemuan empat mata yang membincangkan beberapa isu utama antaranya berkaitan maritim, ruang angkasa serta pengangkutan.
Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi itu. – MalaysiaGazette