pendakwaan
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah diberikan masa oleh mahkamah hari ini bagi melantik peguam utama baharu susulan kematian mengejut Datuk Seri Gopal Sri Ram semalam.

Ini merupakan kes saman yang telah difailkan oleh Tommy terhadap pasukan petugas khas ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat kandungan bukunya.

Untuk makluman, Tommy telah melantik Sri Ram sebagai peguam utama dalam kes tersebut.

Portal FreeMalaysiaToday melaporkan, peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud berkata, peguam Haikaldin Mahyidin memaklumkan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh bahawa Thomas memerlukan masa untuk mendapatkan peguam baharu.

“Hakim menetapkan untuk pengurusan kes pada 27 Feb sementara menunggu pelantikan baharu,” katanya selepas prosiding atas talian hari ini.

Sepatutnya hari ini mahkamah dijadual menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan pasukan petugas dan kerajaan untuk membatalkan saman difailkan Oktober lalu atas alasan ia adalah skandal, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Defendan mahu mahkamah menggunakan kuasa sedia ada untuk membatalkan saman bagi mengelakkan ketidakadilan.

Dalam respons, Tommy berhujah, pasukan petugas berkenaan tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk menyiasat bukunya dan laporan dikeluarkan mengenai perkara itu menyalahi undang-undang.

Dalam saman pemulanya, Tommy menamakan kerajaan Persekutuan dan semua anggota pasukan petugas sebagai defendan.

Pasukan petugas itu ditubuhkan oleh Jemaah Menteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Oktober 2021 untuk menjalankan kajian awal pendedahan yang dibuat oleh Thomas dalam bukunya yang diterbitkan pada Januari 2021.

Pada 22 Disember 2021, jemaah menteri meluluskan terma rujukan pasukan petugas itu yang melibatkan penyiasatan dakwaan mengenai badan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan, salah guna kuasa, kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Laporan pasukan petugas itu dibentangkan di hadapan Jemaah Menteri pada September tahun lalu dan didedahkan kepada umum pada 21 Oktober. – MalaysiaGazette