Adik mangsa keganasan rumah tangga hingga koma, Fauziah Nordin menjaga anak mangsa, J Eshan Nufail pada Majlis Sumbangan Tabung Kasih di Pejabat KPWKM, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 31 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Wanita mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin yang koma selepas didakwa didera suaminya dua tahun lepas kini masih terlantar di rumah kesan kecederaan di otak.

Jahidah yang berusia 44 tahun dan anaknya, Eshan Nufail yang kini berusia lebih setahun dijaga sepenuhnya oleh adiknya, Fauziah di Seremban, Negeri Sembilan.

“Keadaan kakak masih terlantar tidak boleh memberikan respon dan menjawab apa-apa soalan daripada kami,” kata Fauziah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sumbangan Tabung Kasih kepada Jahidah yang digerakkan oleh pengasas jenama BabyPian, Sufian Suhaimi di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu menyempurnakan penyerahan Sumbangan Tabung Kasih mangsa keganasan rumah tangga hingga koma kepada adiknya, Fauziah Nordin (tengah) dan anaknya, J Eshan Nufail sambil diperhatikan Pengasas bersama Babypian Farah Yusoff (dua kanan) dan Sufian Suhaimi (kiri) di Pejabat KPWKM, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 31 JANUARI 2023.

Pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah di kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak.

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi  Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar,  Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.

Difahamkan suaminya kini sudah menjalani proses undang-undang berkaitan kes yang sama.

Dalam pada itu, Fauziah yang mewakili kakaknya sudah menuntut fasakh daripada suaminya yang didakwa menderanya secara kejam sehingga mengakibatkannya cedera parah dan koma .

Tuntutan tersebut diuruskan Fauziah pada Jun tahun lalu di Mahkamah Syariah Seremban.

Jelas beliau, tuntutan berkenaan dibuat kerana enggan lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan kakaknya lagi.

“Kami kalau boleh tidak mahu lelaki itu akan mencari kakak saya lagi, kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang.

“Proses buka fail ini ambil masa sebab yang tuntut saya bukan tuan punya badan (kakak). Jadi saya dapat tahu awal bulan tadi baru mula buka fail,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast