P. Ramasamy- foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Penyingkiran dua tokoh utama dalam UMNO iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak akan menjejaskan UMNO secara besar-besaran.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata, kedua-dua pemimpin itu bukan seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang mempunyai daya tarikan luar biasa.

“Walaupun Khairy tidak sistematik dalam usahanya untuk menyingkirkan Zahid, Hishammuddin jelas cuba untuk menumbangkan UMNO melalui hubungan rapat yang sulitnya dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“Mungkin UMNO tidak kuat sebelum tindakan baru-baru ini, tetapi saya amat meragui penyingkiran Khairy atau penggantungan Hishammuddin akan menjejaskan prestasi Umno secara besar-besaran,” kata Ramasamy.

Sementara itu Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang berpendapat penyingkiran Hishammuddin dan KJ serta ahli lain mungkin disebabkan kepimpinan parti rasa tidak selamat.

Menurut beliau, konsep mahu membersihkan parti tidak bersesuaian dengan penyingkiran dan penggantungan yang dilakukan.

Sebaliknya, ia adalah percubaan sistematik untuk menyingkirkan mereka yang mahu mencabar kepimpinan.

“Rasa tidak selamat yang mendalam mungkin telah mencetuskan pemecatan dan penggantungan.

“UMNO sebagai parti yang kehilangan sokongan Melayu yang besar dalam pilihan raya umum yang lalu tidak berada dalam kedudukan untuk berlengah-lengah.

“Ianya sama ada pucuk pimpinan mengambil tindakan yang sewajarnya atau membiarkan perpecahan dalaman menjejaskan kemajuan parti,” katanya.

Ramasamy berkata, keputusan untuk meneruskan pemecatan dan pengantungan mungkin berdasarkan pengiraan politik bahawa ia dibuat pada masa yang sesuai.

Sekiranya kepimpinan parti berlengah dalam hal ini menurut Ramasamy, prestasi UMNO pada pilihan raya negeri akan datang mungkin terjejas.

Apatah lagi tambah beliau, sokongan UMNO terhadap kerajaan perpaduan adalah penting.

“Perpecahan yang tidak terkawal lagi dalam UMNO berpotensi memusnahkan bukan UMNO sahaja tetapi kestabilan kerajaan perpaduan.

“Keputusan itu adalah satu pertaruhan politik untuk membersihkan parti daripada pembangkang sebelum mereka melakukan lebih banyak kerosakan kepada parti.

“Dalam erti kata lain, parti itu terpaksa mengambil langkah tegas dan menangani kesan penggantungan dan pemecatan,” katanya.

Jumaat lalu selain memecat KJ dan mengantung keahlian Hishammuddin, Majlis Tertinggi UMNO turut memecat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Tan Seri Noh Omar dan lebih 40 pemimpin lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.