Nur Faeza berucap pada Program COMBI Lawan Denggi 2023 di Sungai Dua, Pulau Pinang baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan ‘BioGel Bait’ bagi mencegah nyamuk aedes.

Biogel Bait berasaskan campuran ekstrak tumbuh-tumbuhan tempatan adalah satu kaedah kawalan secara biologi yang bersifat mesra alam sekitar dan selamat kepada manusia serta haiwan.

Pensyarah dan penyelidik kawalan vektor dan penyakit bawaan nyamuk terutama aedes dan culex dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM Prof Madya Dr Nur Faeza Abu Kassim berkata, BioGel Bait yang terdiri daripada manik hidrogel itu mampu menarik dan membunuh nyamuk selain penggunaan tumbuhan tempatan bagi menghalau nyamuk aedes.

Jelasnya, BioGel Bait juga menggunakan ‘sugar bait technology’ iaitu memanipulasi cara pemakanan vektor (feeding behaviour).

“Ia bertindak dengan kaedah ‘attract and kill’ bagi memusnah nyamuk aedes iaitu vektor demam denggi dalam semua peringkat kitar hidup termasuk tempat pembiakannya.

“Selain mesra dan mudah digunakan, kos pembuatannya juga rendah serta sesuai bagi kegunaan di dalam dan luar kawasan rumah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Nur Faeza, pihaknya juga mendapat  kerjasama daripada Jabatan Pertanian negeri membabitkan penggunaan pokok herba anti- aedes iaitu limau kasturi, basil dan pudina.

 Katanya, tumbuhan yang paling berkesan dan mudah ialah pokok basil yang selalu dijadikan ulam manakala limau kasturi dan pudina juga memerlukan tempoh usia tertentu sebelum berupaya menghalau nyamuk aedes.

“Tumbuhan itu dipilih berdasar kajian yang sudah lama dijalankan terhadap penggunaannya bagi menghalau nyamuk namun memerlukan kajian semula untuk mendapat maklumat lebih terperinci seperti tempoh, jarak dan jumlah yang diperlukan bagi memastikan keberkesanannya.

“Namun, bagi mencegah nyamuk aedes, kaedah Pengurusan Kawalan Vektor Bersepadu adalah penting dengan membabitkan sokongan orang ramai dalam menjaga kebersihan dan tidak membiarkan air bertakung sehingga mengundang pembiakan nyamuk.

“Semua sedia maklum, nyamuk aedes adalah ancaman kepada kesihatan awam di negara ini yang mana jangkitannya boleh membawa maut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast