KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar digesa untuk melepaskan jawatan sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
Pemerhati politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim, sama ada Nurul Izzah menerima gaji ataupun tidak, budaya nepotisme ini sudah menerima kecaman dan kritikan masyarakat terutamanya di media sosial.
“Di media sosial sama ada Youtube, Facebook dan Tiktok rata-rata generasi muda menolak kepada amalan ini dengan menyatakan pendapat bahawa Malaysia sudah ketandusan cerdik pandai dan pemimpin,menyebabkan hanya anak-anak orang politik sahaja yang layak untuk memegang pelbagai jawatan di dalam kerajaan.
“Malaysia mempunyai pelbagai universiti, malah ada universiti yang tercalon sebagai terbaik di Asia seperti Univerisiti Malaya. Sudah tentu pelbagai kepakaran ada di setiap fakulti di universiti ini.
“Anwar sepatutnya mengangkat darjat golongan intelektual dan cerdik pandai dari kalangan professor-professor di universiti untuk menjadi penasihatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, Nurul Izzah memaklumkan, beliau menjawat jawatan itu berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Dalam pada itu, Mohamad Shafiq berkata, tindakan Anwar yang melantik anak sendiri sebagai penasihat tidak pernah dilakukan Perdana Menteri terdahulu.
Malah Anwar katanya, sering mengkritik pemerintah terdahulu ketika menjawat jawatan Ketua Pembangkang.
“Kita minta Anwar berhenti bermain propaganda dan fokus kepada kesilapan sendiri. Mengakui kesilapan dan memohon maaf itu perkara biasa tetapi yang luar biasa apabila cuba menegakkan benang yang basah,” katanya lagi.
Anwar baru-baru ini mempertahankan kelayakan Nurul Izzah untuk menjawat jawatan itu setelah ramai pihak mempertikaikan kelayakan anak sulungnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Nurul Izzah memiliki ijazah kedua dalam bidang dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies. – MalaysiaGazette