KUALA LUMPUR – Naza TTDI Sdn Bhd akan melancarkan pembangunan pertamanya TTDI Za’aba Residences di kawasan Taman Tun Dr Ismail pada suku pertama 2023.
Ketua Pegawai Ekskutifnya, Daniel Lim berkata, pembangunan itu sebagai meraikan sambutan Ulang Tahun Jubli Emas NAZA TTDI ke-50 tahun yang bermula sejak penubuhannya di kawasan terbabit.
Sempena ulang tahun itu, NAZA TTDI telah merancang pelbagai aktiviti selama enam bulan bermula Januari ini sempena ulang tahun syarikat hartanah itu dengan tema ‘Keharmonian Hidup’.
“Kami memilih tema ini kerana ia mencerminkan keharmonian yang kita nikmati di negara ini, dalam kalangan rakyat dan persekitaran.
“Tema itu mengingatkan saya kepada pepatah cina Guotai Min An yang bermaksud negara stabil dan rakyat hidup dalam harmoni,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-50 dan Malam Apresiasi Media, di sini, malam tadi.
Lim berkata, syarikat itu akan menyerahkan kunci kepada pembeli TTDI Grove Kajang di Fasa 15 Begonia pada 18 Mac depan.
Projek itu melibatkan 202 unit pangsapuri kos rendah di bawah Skim Rumah Selangorku.
“Pembangunan yang terletak di TTDI Grove ini akan dijadikan sebagai pembangunan kediaman komersial bercampur kami di Kajang dengan seluas 113 ekar.
”TTDI Grove adalah sebuah bandar moden yang telah mengubah wajah Kajang,” jelasnya. – MalaysiaGazette