BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang tidak menafikan berlaku kenaikan harga sayur-sayuran di negeri ini.
Bagaimanapun, Pengarahnya, S. Jegan menegaskan kenaikan harga berlaku membabitkan 10 jenis sayur-sayuran tidak ketara seperti yang didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) .
Jelas beliau, tomato, timun, kacang buncis, kacang panjang, sawi dan lada benggala merah antara sayuran yang mencatat kenaikan harga diantara 4.03 peratus hingga 71.43 peratus.
Selain itu, terung panjang, kacang bendi, kubis bunga dan lada benggala hijau.
“Berdasarkan pemantauan di 45 pasar awam, 13 hypermarket dan 18 pasaraya di negeri ini mendapati terdapat perubahan harga runcit semalam berbading 31 Januari lalu.
“Memang ada gangguan harga disebabkan beberapa faktor seperti keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini namun kenaikan itu tidak ketara seperti yang didakwa sehingga 160 peratus,”katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN di Bukit Minyak di sini, hari ini.
Tambah Jegan, terdapat juga beberapa premis yang menurunkan harga 10 jenis bahan mentah dan sayuran melibatkan penurunan sehingga 20.04 peratus.
Antaranya kubis bulat, sotong, brokoli, ikan tongkol, tembikai merah tanpa biji dan sayur kailan.
Sementara itu, Jegan berkata, bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya, Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah mengarahkan pegawai-pegawai penguat kuasa untuk melakukan pemeriksaan secara harian di pasar awam, pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan pasaraya bagi memastikan harga barangan sentiasa terkawal serta menyediakan pelaporan kepada Ibupejabat bagi tujuan pemantauan.
“Tindakan perundangan di bawah kawalseliaan KPDN akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang tidak munasabah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961,Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999,” ujar beliau.
MalaysiaGazette semalam melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 160 peratus sejak sebulan lalu.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, situasi itu akan bertambah rumit susulan, pihaknya menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa pengedar dan pemborong memberi amaran bahawa harga sayur dijangka meningkat lagi beberapa minggu akan datang. – MalaysiaGazette