Terdapat pelbagai sayur-sayuran yang segar boleh didapati di Pekan Sehari Temerloh ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 160 peratus sejak sebulan lalu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, situasi itu akan bertambah rumit susulan, pihaknya menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa pengedar dan pemborong memberi amaran bahawa harga sayur dijangka meningkat lagi beberapa minggu akan datang.

“Harga bendi dan kacang panjang yang sebelum ini hanya RM6 sekilogram, masing-masing meningkat sebanyak RM16 dan RM12.

“Manakala tomato (RM4.50 sekilogram), kacang (RM6 sekilogram) dan terung RM7 sekilogram kini masing-masing berharga antara RM10 hingga RM12,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera bagi menurunkan harga sayur-sayuran.

Kata Mohideen, pihaknya sudah berulang kali menyeru supaya FAMA mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di negara ini bagi menghapuskan pencatutan orang tengah tetapi gesaan itu tidak didengari.

“Kenaikan harga barang perlu ditangani segera kerana ia akan memberi kesan terhadap golongan berpendapatan rendah.

“Selain itu, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Kawalan Harga dan Anti -Akta Pencatutan 2010,” ujar beliau. – MalaysiaGazette