Batik Air
Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan menyediakan bas perantara dari Kuala Lumpur Sentral ke bangunan Parlimen sempena persidangan Dewan Rakyat yang bermula 13 Februari ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu dimulakan dalam usaha untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.

“Kita akan perkenalkan bas perantara antara KL Sentral ke bangunan Parlimen yang akan bermula dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Tautan Mesra & Perpaduan di MOT, di sini, hari ini.

Tambahnya, Rapid Bas sedang menjalankan ujian keberkesanan inisiatif itu dalam usaha galakan penggunaan pengangkutan awam itu.

“Ujian sedang dibuat oleh pihak Rapid Bas dalam beberapa hari ini,” katanya.

Bagi menjayakan inisiatif itu, Loke telah pun melakukan perbincangan dengan pihak Parlimen agar beberapa keperluan dapat dipenuhi bagi melicinkan kemudahan itu dilaksanakan kelak.

“Saya secara tidak rasmi sudah berbincang dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang menyokong usaha ini.

“Kita perlu ada sedikit penyelarasan dengan pentadbiran Parlimen supaya benarkan bas itu bukan sahaja berhenti di luar bangunan pekarangan Parlimen.

“Kalau boleh masuk ke kawasan Parlimen, turun sahaja boleh terus masuk ke bangunan Parlimen,” katanya. – MalaysiaGazette