Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diiringi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang beramah mesra dengan para peserta pada Majlis Perasmian Seminar Perdana NUTP 2023 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mendengar cadangan agar sesi persekolahan dianjakkan kepada pukul 8 pagi yang ketika ini mengundang perdebatan dengan pelbagai pandangan daripada ahli akademik dan aktivis perguruan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, apa yang penting dalam isu itu, pandangan ibu bapa dan pemegang taruh pendidikan perlu diambil kira dalam membuat keputusan.

Bagaimanapun jelas beliau, cadangan itu bukan menjadi keutamaan kementerian kerana terdapat isu lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita mendengar tapi pastinya kita juga nak dengar pandangan daripada ibu bapa dan semua pemegang taruh pendidikan.

“Pandangan itu kita ambil tapi kita juga harus lihat keseluruhan pandangan. Yang saya pasti, pandangan-pandangan itu kita ambil kira.

“Cuma hari ini tiada ketetapan yang kita buat berkaitan itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Perdana NUTP 2023 di sini hari ini.

Sebelum ini, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, ketika melontarkan semula cadangan itu berkata, syor anjakan jadual sesi persekolahan ke pukul 8 pagi itu iaitu lewat 30 minit berbanding jadual sedia dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menitikberatkan rasa belas kasihan dan empati kepada guru, ibu bapa dan murid di kawasan bandar kerana ada yang terpaksa bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk ke sekolah.

Katanya, syor berkenaan diperkuatkan dengan hujah membabitkan guru, ibu bapa dan murid yang mendiami kawasan bandar terpaksa meredah kesesakan lalu lintas untuk ke sekolah, seawal pukul 6 pagi.

Mengulas cadangan NUTP supaya KPM menawarkan semula jawatan guru sandaran, Fadhlina memberi jaminan kementerian sedang meneliti isu tersebut secara teliti.

“Ia sebenarnya berkait rapat dengan satu isu lebih besar iaitu kekurangan guru yang selama ini jadi isu yang melibatkan kepentingan murid.

“Kita tahu, kekurangan guru akan beri kesan yang cukup besar. Dalam komitmen KPM, saya dah maklumkan sebelum ini di Sarawak, 50 peratus penempatan guru akan disiapkan sebelum Mac depan.

“Manakala negeri-negeri lain, kita akan uruskan dengan segera,” katanya.

Fadhlina menambah, terdapat beberapa status berkaitan guru sandaran dan KPM akan meneliti semuanya dalam usaha menyelesaikan isu kekurangan guru. – MalaysiaGazette