Dr. Mohd Zahari Ismail.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menyambut baik gesaan kerjasama pihak swasta dan industri bagi memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, sebagai penyedia utama TVET di negara ini, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bersedia memperkukuh kerjasama dengan pihak industri.

“Kita akan membuka lebih banyak ruang khususnya dalam menggalakkan perkongsian teknologi dan mempersiapkan para pelajar bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dan separa mahir.

“Di POLYCC, kita mempunyai Centre of Technology (COT) dan Industry on Campus (IOC) yang bertujuan memperkenalkan teknologi industri secara langsung kepada pelajar.

“Namun kita percaya, masih banyak ruang penambahbaikan yang boleh dibuat bagi memperkukuh fungsi dan peranannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Bengkel Hala Tuju Prestasi Pencapaian Industy Education Centre (IEC) di Politeknik Port Dickson (PPD), Negeri Sembilan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Koordinasi TVET JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah, Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi JPPKK, T.S Muhamad Rumzi Mamat dan Pengarah PPD, Dr. Ishak bin Mohamad.

Dr. Mohd Zahari bersama para pesarta Bengkel Hala Tuju Prestasi Pencapaian Industry Education Centre (IEC) yang diadakan di Politeknik Port Dickson.

Tambah Mohd Zahari, IEC berperanan sebagai pusat sehenti kepada pihak industri bagi menjalankan sebahagian daripada proses mereka di institusi dan pelajar dapat belajar dalam suasana industri sebenar di kampus.

Langkah itu bertujuan merapatkan jurang antara kehendak industri dengan sumber tenaga pekerja mahir yang diperlukan oleh negara.

“Ini secara tidak langsung dapat mengekang lambakan pekerja asing di negara ini, malah turut bertindak sebagai pembekal sumber tenaga mahir dan separa mahir ke negara luar yang memerlukan.

“Melalui IEC ini juga, kita akan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan kurikulum dan program pengajian yang ditawarkan adalah relevan dan memenuhi keperluan semasa.

“Selain itu, IEC bakal menjana pendapatan sendiri serta berupaya merancang, menyelaras dan melaksanakan pelan tindakan untuk lebih kompetitif serta mengatasi masalah tata kelola kewangan,” ujarnya.

Pada 2 Februari lalu, kerajaan mengusulkan supaya kerjasama melibatkan pihak swasta dan kerajaan diwujudkan bagi memperkasakan TVET.

Antara cadangan yang diusulkan ialah untuk syarikat-syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, DRB-HICOM Berhad, Sunway Group dan Berjaya Group melatih pelajar atau mengambil alih pusat TVET di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast