Dr Mazliham Mohd Suud (kiri) dan Norman Abdul Halim bertukar-tukar dokumen pada majlis MoU di MMU, Cyberjaya baru-baru-ini.

CYBERJAYA – Universiti Multimedia (MMU), sebuah universiti yang mempelopori pendidikan teknologi maklumat komunikasi di negara ini, dan Yayasan KRU telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi membangunkan bakat-bakat baharu dalam bidang keusahawanan digital dan penciptaan kandungan kreatif.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim di MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Mazliham berkata, kolaborasi tersebut membolehkan kedua-dua belah pihak melaksanakan projek dan aktiviti secara bersama untuk mempertingkatkan kemahiran pelajar dan graduan menerusi pelbagai program latihan ‘up-skilling’ dan ‘re-skilling’ keusahawanan digital.

“Sejak ditubuhkan 26 tahun lepas, MMU telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai industri untuk melahirkan graduan mempunyai kebolehpasaran tinggi. Saya gembira kerana Yayasan KRU menjadi salah sebuah institusi yang turut bekerjsama dengan MMU,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU di MMU Cyberjaya.

Menurutnya, MoU itu membuka jalan kepada lebih banyak peluang untuk pelajar MMU untuk menimba ilmu dan kemahiran dalam latihan industri dan pekerjaan dalam bidang kandungan kreatif dan keusahawanan digital.

“Peluang ini boleh ditawarkan kepada semua pelajar MMU termasuk para pelajar di Fakulti Perniagaan, Fakulti Multimedia Kreatif dan Fakulti Seni Senimatik,” katanya sambil menambah, MMU kini telah melahirkan kira-kira 70,000 graduan sejak ditubuhkan.

Sementara itu, Norman berkata, kerjasama ini juga memberi peluang kepada kakitangan, pelajar dan alumni MMU untuk terlibat dalam bidang perniagaan berasaskan digital.

Beliau turut berharap penglibatan bersama industri dan ahli akademik akan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya kreatif bagi menjana ekonomi negara pada masa depan. – MalaysiaGazette