KUALA LUMPUR – Kepimpinan dan sentuhan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil masih lagi diperlukan untuk membimbing sekali gus menjuarai isu-isu wanita di negara ini.
Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berpandangan, kehadiran Shahrizat mampu membawa sinar, bukan sahaja kepada parti malah secara keseluruhan memandangkan representasi wanita sebagai pembuat dasar masih rendah sejak sekian lama.
Jelasnya, ini juga satu keperluan mendesak apatah lagi sejak Covid-19 melanda dan sehingga kini, isu-isu wanita tidak pernah lekang dan kurang serta perlu ditangani oleh pimpinan lama dan baharu berdasarkan pengalaman.
“Sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian, saya bersama 147 ketua wanita bahagian-bahagian seluruh negara telah berjumpa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil secara bersemuka. Sebahagian besar kami meminta beliau kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO Malaysia.
“Terus terang secara peribadi, saya tidak pernah berada bawah kepimpinannya ketika memimpin UMNO Wanita dahulu. Namun reputasi dan legasi semasa menjadi menteri pertama di Kementerian Wanita, Keluarga Dan Masyarakat yang ditinggalkan amat berkesan dan semua kejayaanya tidak dilupakan.
“Sehingga saat ini, beliau (Shahrizat) masih lagi idola ramai wanita di luar. Sebagai pemimpin yang berada dalam 40-an ini, saya perlu mendapatkan sentuhan kepimpinan beliau bagi membimbing dan menyediakan barisan pelapis yang berkaliber untuk parti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kata Haryaty lagi, beliau bersama yang lain perlu banyak mempelajari pengalaman dan ilmu daripada Shahrizat bagi kelangsungan parti pada masa hadapan kelak.
Dalam pada itu, menurut Haryaty, usul Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2022 baru-baru ini yang mencadangkan agar jawatan tertinggi Ketua Wanita UMNO Malaysia dan bahagian-bahagian tidak dipertandingkan telah ditolak.
“Usul itu kemudian dibawa pula ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia untuk diluluskan namun ia tidak mendapat sebarang kelulusan.
“Kegagalan usul ini membuktikan akar umbi mahukan kepimpinan baru. Biarpun terdapat cubaan mengekalkan kepimpinan sedia ada tanpa pertandingan namun ia tidak berjaya.
“Kita juga yakin melalui proses demokrasi nanti akan menyaksikan sama ada Tan Sri Shahrizat Abd Jalil sebenarnya didambakan untuk memimpin Wanita UMNO bagi membawa kegemilangan atau sebaliknya,” ujarnya. -MalaysiaGazette