JOHOR BAHRU – Selepas lebih 40 tahun terlibat dalam politik, veteran UMNO Tan Sri Shahrir Ab Samad hari ini mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, yang disandangnya sejak 1980-an dalam pemilihan parti akan datang.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang akan mencecah umur 74 tahun pada 22 Nov tahun ini berkata, keputusan itu dibuat kerana merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian, selain bagi memberi ruang kepada pemimpin baharu.
“Ini membolehkan saya jadi ‘Shahrir’ semula. Sama ada saya masih aktif bersuara di media sosial (Facebook Tok Uban), itu belum tahu lagi
“Pemimpin masa depan harus diberi tanggungjawab sekarang untuk memulakan persediaan UMNO bagi kedua-dua pilihan raya negeri Johor dan Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.
Jelasnya tindakan itu tidak berkaitan dengan keputusan kes mahkamah baru-baru ini yang membebaskannya daripada pertuduhan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi, awal bulan lepas.
Shahrir sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sementara itu dalam satu kenyataan, Shahrir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) mengingatkan setiap calon yang bakal bertanding pada pemilihan UMNO 2023 supaya mengamalkan corak kempen yang sihat serta meneliti peraturan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Antaranya termasuk larangan mengadakan majlis perasmian berkelompok di semua peringkat terutamanya peringkat cawangan bermula 1 hingga 26 Feb ini selain semua ketua di peringkat cawangan dan bahagian dilarang berucap sebelum proses pemilihan dan pengundian dijalankan.
Katanya sebarang aduan membabitkan salah laku sepanjang tempoh berkempen, hendaklah dilaporkan kepada Lembaga Disiplin UMNO dengan kadar segera.
Pada masa yang sama, menyedari tempoh berkempen begitu singkat, Shahrir mengesyorkan pindaan dilakukan oleh Majlis Tertinggi UMNO untuk membolehkan calon pemilihan UMNO berkempen menerusi media massa dan media sosial.
Pemilihan UMNO yang bermula 1 Feb itu membabitkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri cawangan, berlangsung sehingga 26 Feb, iaitu selama 26 hari.
Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini. – BERNAMA