Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) dengan SWIDWEB Solutions yang merupakan salah satu syarikat terbitan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Pusat Penyelidikan Sisa Pepejal (PPSP) UTHM Batu Pahat diteruskan dengan menyasarkan 30 tan metrik sisa makanan bagi tahun 2023.

Program Pengkomposan Sisa Makanan dan KITARecycle yang telah dilancarkan pada Februari 2021 ini sehingga Disember 2022 berjaya mengumpulkan 25 tan metrik sisa makanan yang melibatkan beberapa pusat komuniti di sekitar daerah Batu Pahat.

”Program pengurusan sisa makanan yang dianjurkan ini menggunakan serangga ‘black soldier fly larva’ bertujuan mengurangkan kapasiti pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah.

”Melihat kepada keprihatinan komuniiti untuk mengasingkan sisa makanan ini membuatkan kami memperluaskan lagi kawasan aktiviti dengan membuat
kutipan di beberapa kawasan di daerah Muar” kata, Profesor Madya Ir Dr Noor Yasmin Zainun, Ketua projek Program Pengkomposan Sisa Makanan dan KITARecycle.

Tambah beliau, kutipan yang dilakukan oleh SWM Environment ini bukan sahaja kepada sisa makanan sahaja, tetapi turut dilakukan kutipan barangan kitar semula melalui aplikasi KITARecycle.

Sejak program bermula, sebanyak 4,128 kg telah berjaya dikumpulkan yang hanya melibatkan 100 orang ahli yang menyertainya.

“Projek ini membuktikan bahawa kerjasama erat pelbagai pihak melalui inisiatif kelestarian alam sekitar amat diperlukan. Kesedaran komuniti terhadap kepentingan amalan pengkomposan sisa makanan melalui amalan Pengasingan Sisa Di Punca (SAS), konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan konsep sifar sampah (zero food waste) di rumah dapat diterapkan,” katanya.

Pihak SWM Environment & UTHM berharap penganjuran program pengkomposan sisa makanan dan KITARecycle ini memberi impak positif kepada masyarakat dan bersama memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipelihara disamping itu dapat mengamalkan amalan kitar semula demi kesejahteraan generasi akan datang. – MalaysiaGazette