Kaedah proses World Cafe

DAHULU, perpustakaan menjadi tempat tumpuan murid untuk ulangkaji pelajaran. Di sana terdapat pelbagai sumber maklumat daripada buku, surat khabar serta bacaan ilmiah lain. Kini, budaya mengulangkaji pelajaran di restoran atau kafe sudah menjadi trend murid khusunya yang tinggal di ibu kota. Dengan kemudahan capaian internet yang disediakan secara percuma, kafe menjadi sasaran serta daya penarik utama murid untuk menghabiskan masa belajar di sana. Ada yang belajar secara bersendirian, tidak kurang hebatnya secara berkumpulan. Restoran yang dipilih juga merupakan restoran
kegemaran remaja seperti restoran makanan segera serta kafe hipster.

Kita pernah dengar hobi kembara pulau (island hopping) untuk mengutip pengalaman serta menikmati keindahan dari sebuah pulau ke sebuah pulau yang lain. Amalan ini boleh diadaptasi sebagai kembara kafe (cafe hopping) jika ‘sang pengembara’ cuba merasa kesedapan makanan dari sebuah restoran ke restoran yang lain. Foto keindahan pulau atau kesedapan makanan yang dimuat naik ke laman sosial persendirian seperti Instagram, Facebook mahupun Twitter adalah satu rakaman memori untuk paparan umum. Ciapan positif daripada netizen yang melihat foto tersebut akhirnya menyebabkan
ada antara ‘sang pengembara’ ini dilantik sebagai duta kecil untuk mempromosikan kawasan tersebut.

Maka tidak hairanlah restoran atau kafe yang sering dikunjungi pelanggan menjadi sasaran murid untuk belajar di sana menjadi tanda tanya kepada kita,
adakah persekitaran hiruk-pikuk dalam restoran itu mampu memberikan semangat kepada murid untuk belajar? Atau, adakah murid sangat selesa jika pembelajaran santai seperti itu diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka? World Cafe sebagai salah satu kaedah pengajaran berkesan kepada murid bagi memberi peluang murid berhujah dalam kelompok besar.

World Cafe ialah kaedah perbualan yang mudah tetapi mampu membantu kumpulan dari semua saiz untuk terlibat dalam dialog ilmiah, dapat membina hubungan peribadi dan dapat memupuk pembelajaran kolaboratif (Tan dan Brown, 2005). Reka bentuk World Cafe membolehkan setiap ahli kumpulan dapat mengambil bahagian bersama dalam pusingan dialog yang berkembang dari satu meja ke meja yang lain. Isu perbincangan satu meja adalah berbeza dengan meja yang lain. Di sini, murid dapat mengemukakan pandangan baharu dengan persoalan yang berkaitan tentang kehidupan, amalan kerja serta masalah semasa berkaitan sesebuah komuniti. World Cafe merupakan satu inisiatif bagi mencipta rangkaian perbualan di dalam persekitaran
kafe (Oldenburg, 1999).

Bagaimana World Cafe dijalankan di dalam bilik darjah ?

Ruang kelas disusun seperti meja di kafe dengan mempunyai empat kerusi di setiap meja. Guru boleh menghias meja tersebut dengan kreatif seperti meletakkan alas meja serta ditambah dengan dekorasi pasu bunga di atas meja tersebut. Setiap meja mempunyai soalan berbeza (bergantung kepada topik yang akan dibincangkan), manakala peserta digalakkan untuk berbincang soalan yang diberi dalam masa yang ditetapkan. Terdapat juga guru yang akan menyediakan kertas kecil di atas meja tersebut. Ini bertujuan supaya murid dapat menulis jawapan ringkas, coretan, ulasan atau apa sahaja buah fikiran mereka di atas kertas yang disediakan supaya kumpulan seterusnya dapat membaca idea yang telah dibincangkan oleh kumpulan sebelum ini.

Peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil dan duduk di meja gaya kafe serta membincangkan satu soalan. Setiap ahli dalam kumpulan yang dibentuk perlu mengutarakan maklum balas masing-masing berkaitan topik yang dibincangkan. Selepas masa yang diperuntukan tamat, peserta beralih ke meja lain dan perbualan bermula semula dengan ahli kumpulan baharu. Pada akhirnya, kumpulan yang lebih besar menyambung semula untuk mendengar daripada sesiapa sahaja yang ingin berkongsi pengetahuan sesama mereka.

World Cafe boleh diubah suai untuk memenuhi pelbagai keperluan. Lima komponen utama menjadi panduan bagi menjadikan World Cafe in berjalan dengan baik, antaranya adalah:

Langkah 1 : Penetapan

Guru perlu bijak mencipta persekitaran istimewa mengikut tema atau topik yang ingin dibincangkan. Model kafe yang dibina menjadikan suasana perbincangan amat bermakna dan akan diingati oleh murid. Suasana santai ini seperti susunan meja dan kerusi serta dekorasi atas meja dapat menjadikan murid berasa selesa dan tidak kekok semasa proses perbincangan dijalankan. Saiz kumpulan yang dibina juga amat penting, paling optimum adalah seramai empat hingga enam orang dalam satu meja. Bahan yang disediakan seperti kertas sebak, kad manila, pen berwarna serta pita selofan juga
penting dalam membentuk suasana yang kondusif kepada murid untuk berfikir dan berbincang.

Langkah 2 : Pengenalan dan “Selamat Datang”

Murid yang bertindak selaku hos atau juru acara akan bermula dengan kata alu-aluan dan pengenalan kepada proses permulaan World Cafe. Konteks perbincangan, etika perbincangan, prinsip perbincangan serta kata-kata positif agar semua murid aktif amat penting diterangkan secara jelas supaya kata sepakat dapat dicapai di akhir perbincangan nanti.

Langkah 3 : Pusingan Kumpulan Kecil

Sesi perbincangan secara keseluruhan boleh dihadkan kepada tiga kali pusingan penuh. Pada setiap sesi perbincangan, secara kebiasaannya, masa yang ditetapkan adalah dalam lingkungan 20 minit. Isu atau konteks perbincangan perlu dirancang terlebih dahulu, dan guru mesti menjana idea untuk membentuk konteks yang berbeza di setiap meja agar perbincangan dan idea yang dilontarkan lebih mencapah. Murid-murid perlu bergerak ke meja lain setelah masa yang di peruntukan tamat. Hos atau juru acara yang baharu dalam kalangan kumpulan itu perlu dilantik bagi mengalu-alukan kedatangan
murid dengan isu yang lain.

Langkah 4 : Ajukan Soalan

Guru perlu bijak membina konteks perbincangan yang berbeza bagi memenuhi kesemua meja kafe yang telah dibentuk. Di sini, guru perlu mengoptimumkan kreativiti mereka bagi memastikan isu yang dibincangkan adalah berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Murid akan berhujah dan melontarkan idea-idea baharu yang berbeza dari meja sebelum ini. Ini bagi mengelakkan ulangan idea atau membuatkan murid cepat bosan jika isu yang dibahaskan adalah sama sahaja sepanjang sesi dijalankan. Soalan yang dibina oleh guru perlulah mengikut keupayaan kognitif murid
agar tidak terlalu besar skop perbincangan serta di akhir sesi nanti dapat mencapai kata sepakat atau solusi bagi sesuatu isu yang dibangkitkan.

Langkah 5 : Tuaian Idea

Dalam sesi ini, hasil perbincangan di dalam meja kecil perlu dikongsikan bersama kumpulan besar. Segala pandangan dan idea perlu diambil kira sebagai gugusan-gugusan idea yang dibina sepanjang sesi dijalankan. Di akhir sesi nanti, murid dapat membuat kesimpulan yang baik hasil daripada perbincangan di dalam meja kecil. Di sinilah guru dapat mengukur objektif pembelajaran yang ingin dicapai sama ada berjaya atau tidak dalam diri murid. Selain daripada perkongsian secara oral, guru juga boleh menyediakan kertas ulasan (exit ticket) kepada murid tentang apa yang telah dipelajari
mereka serta komentar penambahbaikan proses berkenaan untuk masa akan datang.

Kini, kaedah pengajaran “World Cafe” merupakan pendekatan pengajaran baharu yang mula diperkenalkan di dalam kelas bagi memberi peluang murid berhujah dalam kelompok besar. Kaedah yang lebih menjurus perbincangan dan pelontaran idea ini mampu mengikis perasaan malu murid yang kurang keyakinan serta mengasah kemahiran bercakap mereka. Format pengajaran yang mudah, berkesan dan fleksibel seakan-akan sesi dialog dalam kumpulan besar. Proses pembelajaran kreatif yang menjurus ke arah dialog secara kolaboratif, perkongsian pengetahuan serta mewujudkan suasana sumbang idea dalam pecahan kumpulan kecil. Kaedah ini membina kecerdasan murid berfikir secara berkumpulan. Beberapa pusingan perbincangan berlaku dapat mencetus idea terhadap topik atau isu yang dipersetujui bersama dalam kumpulan kecil. Ini dapat mengumpulkan idea-idea individu ke dalam satu mesej yang komprehensif walaupun suasana pembelajaran dilihat agak lebih santai.

World cafe merupakan satu wadah bagi murid untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran di samping meningkatkan teknik perkongsian ilmu pengetahuan terhadap isu yang diberikan. Ini dapat meningkatkan kualiti pemahaman di sekolah yang mengintegrasikan pembelajaran abad ke-21. Pendekatan pembelajaran secara kolaboratif ini memegang konsep Baca-Pendapat-Analisis (BPA). Melalui konsep ini, murid mestilah membaca terlebih dahulu sesuatu topik yang telah diberi. Pada masa ini, setiap daripada mereka akan berusaha menelaah pelbagai jenis sumber bagi meningkatkan pengetahuan terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya buku teks menjadi sumber bacaan utama, walaupun capaian internet dilihat sebagai sumber pilihan murid
kerana mudah dan cepat. Di sini, guru boleh mengintegrasikan proses pengajaran dengan aplikasi digital.

Kemudian, murid akan memberikan pendapat terhadap tugasan yang diberikan. Mereka akan melontarkan idea terhadap sesuatu topik perbincangan. Penerimaan dan penolakan hujah dapat diketengahkan dalam fasa ini. Secara tidak langsung, cetusan kognitif murid diuji oleh rakan sebaya. Mereka akan berusaha menyumbang idea dalam kumpulan supaya tidak dilabel sebagai murid pasif. Teknik penerangan yang baik juga dapat diasah dalam fasa ini. Murid dapat meningkatkan kemahiran bercakap serta menerangkan sesuatu perkara dengan jelas bagi meraih penerimaan pemahaman
daripada ahli lain dalam kumpulan yang sama.

Fasa ketiga merupakan analisis pendapat yang telah diberikan. Murid akan menilai cetusan idea yang boleh diterima pakai bagi menyiapkan tugasan. Di sini, kemahiran membanding bezakan dapat diterapkan dalam diri murid. Berdasarkan aras kemahiran berfikir yang didasari oleh Teori Taksonomi Bloom yang diperkenalkan oleh Benjamin Bloom pada tahun 1956. Teori ini mengkategorikan kemahiran dan objektif yang ingin dicapai oleh murid kepada tiga domain iaitu kognitif, afektif dan psikomotor. Kemahiran menganalisis ini terletak pada domain kognitif murid yang mencakupi aras keempat, aras kelima adalah menilai manakala aras yang paling tinggi iaitu keenam adalah mereka cipta. Oleh itu, kaedah ini sekaligus mendepani kemahiran berfikir aras paling tinggi dalam pembelajaran murid.

Tempoh perbincangan setiap meja ditetapkan. Satu soalan diberikan bagi satu meja. Setiap me ja yang mempunyai soalan berbeza bagi menggalakkan murid berfikir dan membincangkan topik yang lain. Oleh itu, persiapan rapi dalam penyediaan set topik oleh guru amat penting. Selain itu, persiapan mental serta pembacaan murid juga memainkan peranan. Mereka perlu mempersiap diri bagi apa jua topik yang akan dibincangkan. Pergerakan murid dari meja ke meja membentuk murid yang aktif. Seorang murid dari kumpulan asal akan kekal di mejanya. Tugasan fasilitator pemula perbincangan diambil alih oleh murid yang kekal di meja tersebut. Oleh itu, sesi penghujahan setiap meja adalah secara terkawal dan lebih menyeronokkan.

Melalui pembelajaran menggunakan kaedah “World cafe” dapat melahirkan murid yang sentiasa berfikir secara kreatif dan kritis selain sentiasa memahami dan menerima pendapat atau pandangan orang lain, kerana setiap daripada mereka berhak menyuarakan sesuatu yang dianggap betul. Ini dapat mewujudkan kesedaran setiap murid agar menghormati pandangan orang lain serta menghargai perkongsian dalam kumpulan yang besar. Bagi memastikan pengajaran menggunakan kaedah ini berjaya, terdapat enam etika yang perlu dipatuhi oleh murid iaitu guru perlu menetapkan konteks perbincangan. Ruang perbincangan yang disediakan guru mestilah selesa kepada murid.

Selain itu, murid perlu meneroka topik yang telah diberikan secara pembelajaran kendiri terlebih dahulu. Mereka perlu berkongsi idea secara kolaboratif supaya dapatan perbincangan dapat dicapai di akhir sesi. Murid juga perlu menjadi pendengar yang baik, mencari titik persamaan agar kesepakatan perbincangan tercapai dan menggalakkan rakan mereka di meja yang sama turut menyumbangkan idea tanpa menjadi murid yang
pasif.

Kelebihan menjalankan Kaedah World Cafe di dalam bilik darjah:

● Dapat menjana idea, berkongsi pengetahuan, merangsang pemikiran inovatif serta meneroka luahan murid dalam mendepani situasi kehidupan yang sebenar.
● Menyampaikan pemikiran baharu, perbualan bermakna, suasana santai serta perhubungan mendalam antara murid dengan murid dan guru dengan murid.
● Dapat membina komunikasi yang sihat dan berilmiah kepada murid serta perkongsian membina dalam mencipta idea-idea dan pengalaman baharu yang
lahir daripada individu yang berbeza.
● Mewujudkan nilai saling menghormati dalam mendengar pandangan orang lain serta menggilap kemahiran berfikir secara kritikal dan bijak berhujah
menggunakan fakta yang relevan.

Jika sebelum ini, murid seperti kera sumbang yang hanya melekat sentiasa dengan gajet mereka. Namun integrasi digital dan kemahiran bersosial dapat diasah serentak. Pencarian maklumat, pelontaran idea serta analisis pendapat tercapai dengan menggunakan kaedah pengajaran ini. Oleh itu, kaedah PdP secara “World cafe” menjadi kaedah yang perlu diberi perhatian bagi semua peringkat pendidikan. Persoalannya adalah, adakah kita sudah bersedia ke arah mengimplementasikan kaedah World cafe ini sepenuhnya ?

Oleh: Abdul Malek Kamaruddin
Guru Akademik Biologi
Jabatan Sains dan Matematik
Akademi Sains Pendang
Kedah

Dr. Mohd Mokhzani Ibrahim
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad
Pensyarah Kanan di Jabatan Biologi
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Dr. Mohamad Termizi Borhan
Pensyarah Kanan di Jabatan Biologi
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast