KUALA LUMPUR – Kemasukan dan keberadaan warga asing di Malaysia tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa termasuklah keperluan memiliki dokumen perjalanan yang sah serta mematuhi tempoh dan syarat pas yang dikeluarkan.
Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan sentiasa memastikan perkara ini dilaksanakan secara teratur bagi memastikan elemen keselamatan dan kedaulatan negara tidak terancam dan dikompromi.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menjelaskan demikian berhubung operasi penguatkuasaan penempatan haram warga asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan pada 1 Februari lalu.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan setelah mendapat aduan daripada orang awam yang bimbang akan keselematan penduduk setempat serta hasil risikan yang dilaksanakan oleh JIM selama sebulan.
“Dalam operasi itu, seramai 68 individu warga Indonesia diperiksa dan 67 orang yang berusia di antara dua bulan hingga 72 tahun, terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah portal bertarikh 4 yang melaporkan kecaman Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia/Komnas HAM) terhadap serbuan pekerja asing yang dilakukan imigresen di kawasan berkenaan.
Khairul Dzaimee berkata, malah, ketika operasi berkenaan, JIM menjumpai beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang.
Terdapat percubaan daripada beberapa pendatang tanpa izin (PATI) untuk meloloskan diri daripada ditahan, ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap.
Antara kesalahan mereka ialah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ini telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Berdasarkan pemeriksaan didapati, ada mereka yang ditahan tidak berniat untuk pulang, sebaliknya ingin terus berada di sini dalam tempoh yang panjang walaupun tanpa dokumen yang salah.
Dakwaan ini berdasarkan dapatan penempatan tersebut merupakan sebuah perkampungan yang telah lama wujud di dalam hutan dan berada di kawasan yang tidak rata dan berpaya.
Akses ke kawasan tersebut dengan berjalan kaki sejauh 1.2km dan dikelilingi besi serpihan jerat serta anjing liar dan mempunyai pelbagai kemudahan seperti beberapa unit genset dan sekolah menggunakan silibus pendidikan negara jiran.
Khairul Dzaimee menambah, operasi yang dilaksanakan jabatan itu dibuat secara teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau turut menjelaskan, operasi itu tidak ada kaitan dengan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula pada 27 Januari lalu.
RTK 2.0 ini antara lain bertujuan memastikan warga asing yang berada dan bekerja dalam negara secara tidak sah diregularisasi untuk bekerja secara sah.
Pelaksanaan RTK 2.0 ini, katanya, merupakan strategi serampang dua mata iaitu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara serta menguatkuasakan undang-undang imgresen.
“PATI seharusnya mengambil peluang menyertai program RTK 2.0 ini untuk terus berada di Malaysia secara sah,” katanya.
Dalam perkembangan lain Khairul Dzaimee memaklumkan, aspek kebajikan tahanan di depot juga sentiada terpelihara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan termasuk kebajikan tahanan wanita dan kanak-kanak. – MalaysiaGazette