Gambar hiasan

TAHUN 2022 telah pun berlalu. Banyak kejayaan yang telah kita kecapi tanpa mengira latar belakang kita. Pada tahun 2023 ini kita mengharapkan dapat memenuhi impian yang belum terlaksana dan berusaha untuk menempa kejayaan baharu demi menjamin masa depan yang lebih gemilang. Persoalannya adakah kejayaan yang kita kecapi itu adalah kejayaan yang sebenar?

Kejayaan seseorang selalu diukur dengan kekayaan wang ringgit, kecemerlangan dalam pekerjaan atau mungkin keberhasilan pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik. Adakah ini dikatakan sebagai kejayaan yang sebenar terutamanya kepada kita yang bergelar Muslim? Sudah pasti tidak kerana kejayaan ini bersifat sementara dan ia hanya diperoleh di dunia sahaja. Jadi apakah kejayaan yang hakiki yang telah disifatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran?. Kejayaan hakiki bukan hanya kejayaan di dunia bahkan di akhirat jua. Apakah ciri-ciri kejayaan tersebut yang dijelaskan
dalam al-Quran?.

Dalam surah al-Mukminun, ayat 1 – 11, Allah SWT telah menerangkan ciri-ciri atau sifat-sifat orang yang berjaya. Dalam ayat pertama, Allah SWT menegaskan bahawa Muslim yang benar-benar berjaya adalah seorang Muslim yang beriman. Buktinya Allah SWT menggunakan perkataan al-mukminun berbanding al-muslimun. Ini kerana ramai orang Muslim merasakan mereka adalah Muslim sejati, ironinya mereka tidak benar-benar beriman kerana tidak meyakini perkara-perkara ghaib seperti dosa pahala, syurga dan neraka.

Mereka hanya Muslim pada nama tidak pada hati. Oleh itu, mereka tetap melakukan maksiat dan kemungkaran tanpa rasa bersalah. Selain itu, keteguhan iman juga tidak diketahui melainkan setelah ia diuji dengan musibah dan limpahan nikmat. Justeru iman adalah benih utama dalam meraih kejayaan hakiki iaitu kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Dalam ayat seterusnya, Allah SWT menjelaskan ciri kedua orang yang berjaya iaitu mendirikan solat dengan penuh khusyuk. Berapa ramai orang menunaikan solat tetapi tidak khusyuk. Khusyuk adalah satu anugerah. Kita mesti berusaha mendapatkannya. Apakah cara untuk mendapat solat yang khusyuk? Kita fahami dahulu maksud khusyuk iaitu tunduk merendahkan diri dan takut kepada Allah SWT. Ali bin Abu Talib r.a menyatakan bahawa khusyuk berlaku di dalam hati. Ibnu Abbas pula mendefinisikan khusyuk itu adalah takut dan tenang. Jadi apabila kita berada dalam solat, kita perlu memusatkan segala ketakutan dalam hati hanya pada Allah. Kita takut akan azab dan neraka-Nya dan pada masa yang sama kita mengharapkan keampunan dan syurga-Nya nescaya hati kita akan menjadi tenang.

Kehidupan kita ini sering kali diselubungi dengan ketakutan. Kita takut akan kematian, kemiskinan, takut harta akan dirampas, kegagalan dalam pekerjaan dan lain-lain. Ketika solat kita mestilah datangkan perasaan takut itu hanya pada Allah SWT semata-mata. Dengan mengharapkan pertolongan-Nya dalam semua urusan, sudah pasti segala ketakutan dan keresahan yang menyelubungi kita akan lenyap dan akhirnya Allah mengurniakan kekhusyukan dan ketenangan jiwa.

Kemudian ciri ketiga mukmin sejati ialah menjauhi perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah yang boleh membawa kepada dosa termasuk syirik dan segala maksiat. Perkara sia-sia terjadi melalui dua jalan iaitu kata-kata dan perbuatan. Justeru seorang mukmin mestilah menjaga tutur kata dan tingkah lakunya. Mukmin yang telah mendapat nikmat kekhusyukan dalam solat perlu membina benteng peribadi agar tidak dicerobohi oleh anasir-anasir jahat dan bisikan-bisikan syaitan dalam kalangan jin dan manusia daripada merosakkan hati dan iman mereka.

Benteng kekuatan ini ditegaskan dalam ayat yang keempat yang mana Allah SWT menyebut ciri keempat orang mukmin sejati ialah membersihkan hati-hati daripada kekotoran. Perkataan al-zakãtt dalam ayat ini bukan bermaksud zakat wajib kerana surah al-mukminun adalah surah makkiyyah sedangkan hukum kewajipan zakat adalah setelah Nabi SAW berhijrah. Justeru, zakat dalam ayat ini merujuk kepada tazkiyyah an-nafs iaitu membersihkan hati dari segala dosa dan maksiat.

Manakala ciri kelima pula ialah menjaga maruah melalui kemaluan. Pada hari ini kita melihat banyak kerosakan berlaku disebabkan kemaluan terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka berani melakukan perzinaan, perbuatan seks bebas dan lain-lain. Ia berlaku disebabkan salah guna teknologi serta dunia tanpa sempadan. Bukankah setiap tontonan yang mengghairahkan dapat memberi kesan kepada kemaluan?. Hanya kekuatan iman dan solat yang khusyuk sahajalah yang menjadi solusinya. Sepatutnya dari awal lagi kita perlu elak dan cegah daripada melakukan perkara yang sia-sia agar dijauhi perkara tidak diingini.

Jadi menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjaga anak-anak mereka agar tidak terjebak ke kancah kemerosotan akhlak dan maruah diri. Pantaulah aktiviti mereka dan jangan sekali-kali merasa tenang setelah memberi gajet kepada anak-anak. Tidakkah kita takut dengan fenomena yang sedang berlaku ini?.

Seterusnya ciri keenam ialah menjaga amanah dan menunaikan janji. Setiap individu akan melalui banyak fasa dalam kehidupannya seperti menjadi ketua keluarga, ketua masyarakat dan pemimpin negara. Setiap peranan ini mempunyai tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Setiap amanah perlu dijaga dengan baik. Maka kita mendapati bahawa proses pembentukan iman ini bukan sahaja berlaku secara individual bahkan secara berperingkat berdasarkan fasa peralihan kehidupan manusia bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Ciri yang terakhir yang dijelaskan oleh Allah SWT ialah menjaga solat. Sekali lagi Allah SWT mengulang perkara berkaitan solat. Ini menunjukkan bahawa solat adalah sangat penting dalam membina mukmin sejati yang berjaya dunia akhirat. Bahkan solat mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT. Kita bukan sahaja disuruh untuk menunaikan solat wajib malahan digalakkan mengamalkan solat-solat sunat. Sebagai seorang individu, ketua keluarga dan masyarakat serta pemimpin negara, jika ingin memperoleh kekuatan jiwa, rohani dan jasmani, mereka mesti istiqamah melakukan solat sunat. Hanya dengan solat sahaja dapat membentuk peribadi mukmin yang mulia dan hebat di sisi Allah.

Inilah tujuh ciri yang mesti ada pada setiap Muslim. Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang terhebat kepada mereka iaitu mewarisi Syurga Firdaus dan kekal di dalamnya. Allah SWT menggunakan perkataan “mewarisi” kerana pada hakikatnya orang mukmin dan orang kafir diperintahkan untuk menyembah Allah SWT. Orang mukmin itu umpama sedang membina rumah di syurga dan memusnahkannya di neraka. Manakala
orang kafir pula sedang membina rumah di neraka dan memusnahkannya di syurga.

Oleh itu, orang mukmin akan mewarisi rumah-rumah orang kafir yang tidak berpenghuni. Demikianlah ciri-ciri dan sifat-sifat orang berjaya yang telah dijelaskan dalam surahini. Kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi Muslim yang dikehendaki Allah SWT. Maka tibalah saatnya untuk kita check and balance diri kita dengan segala kejayaan yang telah dikecapi mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan Muslim yang benar-benar berjaya di dunia dan di akhirat.

Abdul Hadi Abd Aziz
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast