SUNGAI PETANI – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ismail maut selepas cuba mengelak seorang warga emas melintas secara tiba-tiba di Jalan Taman Intan di sini hari ini.
Mangsa, Lee Yi Hong, 17, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pukul 12.35 tengah hari akibat kecederaan dalam kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS150 dikatakan terbabas selepas cuba mengelak seorang wanita warga emas yang melintas jalan secara tiba-tiba.
“Akibat kejadian itu, lelaki berkenaan terjatuh dengan motosikalnya sebelum terseret dan melanggar pintu belakang sebuah kereta Kancil.
“Susulan itu, mangsa terseret lagi lalu melanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda yang berada dalam kotak parkir.
“Mangsa mengalami kecederaan padah akibat kemalangan tersebut dikejarkan ke HSAH sebelum disahkan meninggalkan dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zaidy, wanita warga emas berusia 73 tahun yang juga pejalan kaki itu pula mengalami kecederaan ringan pada kaki dan tangan turut dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut.
“Bedah siasat ke atas mangsa maut akan dijalankan selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19. Kita minta saksi yang melihat kejadian tampil atau menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette