Belon China yang disyaki menjadi pengintip di tembak jatuh oleh tentera Amerika Syarikat pada Februari lalu.

WASHINGTON – Sumber perisikan Amerika Syarikat (AS) yakin belon yang ditembak jatuh pada hari Sabtu digunakan oleh tentera China untuk mengintip.

Pegawai AS yang tidak dinamakan memberitahu Washington Post, mereka percaya belon tersebut digunakan untuk mengumpul risikan di wilayah yang berkaitan secara strategik.

Ia termasuk Jepun, India, Taiwan dan Filipina.

Namun dakwaan itu dinafikan oleh China.

Seorang pegawai memberitahu Washington Post, perisikan AS percaya beberapa belon itu diterbangkan dari Hainan, sebuah pulau di selatan China yang menempatkan pangkalan tentera laut.

Memetik seorang pegawai kanan pentadbiran Biden yang tidak dinamakan, CBS News mengesahkan, perisikan AS percaya belon itu adalah sebahagian daripada “program pengawasan udara yang dikendalikan oleh Tentera Pembebasan Rakyat dari Hainan”.

Pada hari Isnin, AS memberi taklimat kepada 40 negara bersekutu tentang dakwaan pengintipan, seorang pegawai kanan pentadbiran Biden mengesahkan kepada CBS News.

Dalam taklimat itu, Timbalan Setiausaha Negara Wendy Sherman juga mendedahkan satu belon telah mengelilingi planet ini pada 2019, mengembara ke Hawaii dan Florida.

Menurut pegawai pentadbiran Biden, sekumpulan pemimpin Kongres AS yang bertanggungjawab untuk mengawasi hal perisikan negara, yang dikenali sebagai Geng Lapan, akan diberi taklimat mengenai perkembangan pada hari Rabu, dan kepada Kongres pada hari Khamis. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast