Anggota Maritim melakukan operasi SAR komando tentera darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas pada 7 Februari 2023.

MELAKA – Polis tidak menolak kemungkinan komando tentera darat, Lans Koperal Edrin Baintin, 25, yang dikhuatiri lemas semalam dihanyutkan ke perairan Indonesia selepas usaha mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua tidak menemui sebarang petunjuk.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menghubungi pihak berkuasa di negara jiran kerana masih menumpukan operasi SAR di perairan negara melibatkan keluasan 101.2 batu nautika persegi hari ini.

Menurutnya, operasi menyaksikan seramai 110 anggota dan 14 pegawai daripada lima agensi dikerahkan dengan pembahagian kepada tiga elemen iaitu zon dasar laut, zon permukaan laut dan zon udara.

Christopher Patit

“Semua lima agensi hari ini telah menggunakan segala kekuatan aset laut dan udara yang ada dalam operasi SAR bermula jam 8.30 pagi tadi untuk mencari mangsa yang sudah pun meliputi keluasan 101.2 batu nautika persegi, namun gagal menemui sebarang petunjuk.

“Terdapat banyak kemungkinan termasuk mangsa boleh dihanyutkan sehingga ke perairan negara jiran kerana keadaan arus di dasar laut dan angin yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai SAR di Pangkalan Marin, Kota Laksamana di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, operasi SAR akan diteruskan esok termasuk kemungkinan berhubung dengan pihak berkuasa dan nelayan Indonesia sekiranya mangsa hanyut ke perairan negara itu.

“Bagaimanapun semua ini masih belum dapat dipastikan dan kita akan meneruskan SAR seperti biasa yang turut melibatkan persatuan nelayan.

“Antara cabaran yang kita hadapi dalam operasi ini adalah keadaan arus di bawah yang deras dan jarak penglihatan yang amat terhad antara dua hingga lima kaki,” katanya.

Lans Koperal Edrin Baintin

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Lans Koperal Edrin yang bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor hilang sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau Kursus Juruselam di kawasan perairan Pulau Undan.

Turut bersama mangsa ketika kejadian adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang Melaka.

Lima agensi terlibat dalam operasi SAR berkenaan adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Angkatan Pertahanan Awam Malaysa (APM) dan Pasukan Marin Wilayah 2 Melaka.

Antara aset penyelamat yang digunakan ialah sembilan aset dari agensi-agensi sahabat termasuk pesawat Dolphin daripada Maritim, pesawat King Air daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU), RH22 dari Pasukan Polis Marin (PPM), bot Kevlar JBPM dan lima bot taktikal daripada ATM. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Operasi cari komando dikhuatiri lemas diperluaskan