Zambry Abdul Kadir (kiri)

BANGKOK – Sebanyak empat Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan Thailand akan dimeterai esok sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara ini.

Daripada empat MoU, tiga daripadanya membabitkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya manakala satu lagi MoU melibatkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang membabitkan bidang tenaga dan ekonomi digital.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri yang akan memulakan lawatannya esok akan membincangkan isu kerjasama dua hala dengan rakan sejawatnya, Jeneral Prayut Chan o-Cha.

“Terdapat peluang kerjasama baharu, ” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Majlis pemeteraian MoU itu membabitkan MDEC dengan Digital Economy Corporation (depa) of Thailand, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Electric Generating Authority of Thailand (EGAT), TNB Renewable Sendirian Berhad dengan Planet Utility Co. Ltd dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. dengan B Grimm Power Co. Ltd.

Sementara itu, Zambry berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan perdagangan dengan Thailand pada tahun lalu berbanding 2021.

Tambah beliau, Thailand merupakan rakan perdagangan ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar ASEAN pada tahun lalu.

Jelasnya, Malaysia mencatatkan peningkatan perdagangan sebanyak 17.9 peratus pada tahun lalu berbanding 2021 dengan nilai dagangan berjumlah RM122.03 bilion.

Katanya eksport meningkat 18.9 peratus berjumlah RM65.8 bilion manakala import naik sebanyak 16.7 peratus bernilai RM56.2 bilion untuk tempoh sama. – MalaysiaGazette