Zambry Abdul Kadir (dua dari kanan) bertemu Don Pramudwinai selepas sidang media dengan wartawan Malaysia di Bangkok, Thailand.

BANGKOK – Hubungan dua hala bukan hanya membabitkan hubungan diplomatik antara kerajaan tetapi ia turut melibatkan diplomasi antara penduduk.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pelbagai diplomasi yang tidak rasmi boleh dilaksanakan.

“Tentu kita hendak lihat hubungan baik dilakukan. Pelbagai cara, hubungan pemimpin dengan pemimpin dan hubungan masyarakat dengan masyarakat,” katanya pada sidang media sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand selama dua hari bermula esok.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kunjungan Perdana Menteri ke Pusat Islam Thailand di Bangkok sebelum menunaikan solat Jumaat di pusat itu.

Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan selepas menunaikan solat Jumaat.

Selepas sidang media itu, Zambry menemui Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai.

Mengulas lanjut Zambry berkata, sebelum melakukan lawatan ke Thailand, Anwar telah menemui masyarakat setempat di negara yang dilawatinya da ia mendapat sambutan yang baik.

“Ia bukan hanya melibatkan satu kelompok masyarakat dan agama sahaja. Kita dapat lihat PM diterima di negara yang dilawati dan mendapat sambutan baik.

“Masyarakat Thailand juga teruja untuk melihat beliau semasa lawatan ke Indonesia, Brunei, Singapura jelas keterujaan diaspora dan masyarakat tempatan.

“Imej Anwar internationalist dan dalam konteks ASEAN beliau bukan orang baharu dalam hal ehwal dalam Islam dan hubungan antarabangsa dan lain-lain,” ujarnya

Menurut Zambry, di Thailand akan wujud suasana seperti itu dan ia merupakan petanda baik dalam hubungan kedua-dua buah negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast