TEMERLOH – Polis mengesahkan semula identiti kesemua tujuh mangsa maut dalam insiden van persiaran yang terbabas di Jalan Genting Highlands dekat sini semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam kenyataannya berkata, salah seorang mangsa, Goh Siew Kim, 61, yang sebelum itu dilaporkan meninggal dunia sebenarnya masih mendapatkan rawatan di Hospital kuala Lumpur (HKL).
Pada awalnya polis melaporkan mangsa terdiri daripada Wong Choun Chiet, 49; Foong Ah Lan, 67; Lee Moy, 67; Ang Meng Hong, 62; Seow Mee Tin, 72 dan Goh Siew Kim, 61.
Namun, katanya, selepas keluarga mangsa tiba membuat pengecaman di hospital pihaknya mendapati mangsa yang dikenalpasti sebagai Goh Siew Kim sebenarnya bernama Wong Ah Moi @ Wong Seh Moi, 83.
“Mangsa bernama Wong Ah Moi @ Wong Seh Moi yang telah meninggal dunia memegang kad pengenalan Goh Siew Kim,” jelas Ramli lagi.
Oleh itu, polis mengesahkan seramai tujuh mangsa masih menerima rawatan masing-masing di HKL dan Hospital Temerloh dan memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya memandangkan ia masih dalam siasatan.
Semalam, seramai enam individu maut dalam tragedi sebuah van persiaran dengan 13 penumpang terbabas merempuh konkrit pembahagi jalan di Kilometer 4.8 jalan turun dari Genting Highlands pada jam 1.15 petang.
Mangsa ketujuh pula dilaporkan meninggal dunia malam tadi ketika mendapatkan rawatan di HKL. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Seorang lagi mangsa nahas van terbabas di Genting Highlands meninggal dunia