Seorang lagi penumpang van persiaran yang terbabas merempuh konkrit pembahagi jalan di laluan turun  Genting Highlands dekat sini petang tadi dilaporkan meninggal dunia malam ini.

KUANTAN – Seorang lagi penumpang van persiaran yang terbabas merempuh konkrit pembahagi jalan di laluan turun  Genting Highlands dekat sini petang tadi dilaporkan meninggal dunia malam ini.

Ia menjadikan jumlah kesemua mangsa mati dalam kejadian itu seramai tujuh orang.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mangsa berkenaan, Chang Them Kong, 70, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, dalam kejadian di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands pukul 1.15 petang itu, van persiaran yang dipandu seorang lelaki warga tempatan itu dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Genting Highlands.

“Apabila sampai di selekoh, van persiaran telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan tersebut, katanya pemandu van, Wong Choun Chiet, 49 meninggal dunia di lokasi bersama lima penumpang  iaitu Foong Ah Lan, 67; Lee Moy, 67; Goh Siew Kim, 61; Ang Meng Hong, 62, dan Seow Mee Tin, 72.

“Enam orang penumpang lain yang cedera telah dihantar ke HKL manakala dua lagi dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan lanjut dan telah dipindahkan ke Hospital Temerloh,” ujar Ramli.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, polis ingin memohon kerjasama mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian agar tampil bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Enam maut van terbabas jalan turun Genting Highlands