Home Nasional Rakyat Malaysia layak dapat kerajaan yang baik

Rakyat Malaysia layak dapat kerajaan yang baik

Anwar Ibrahim berucap pada majlis Jamuan Minum Petang Bersama Diaspora Malaysia Di Thailand di sebuah hotel di Bangkok, Thailand.

BANGKOK – Rakyat Malaysia layak mendapat kerajaan yang lebih baik dan kini peluang itu terbuka walaupun terdapat pihak-pihak yang menentang usaha tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara telah hilang genggaman mencapai usaha itu berikutan wujudnya tadbir urusan yang teruk, rasuah dan salah guna kuasa sebelum ini.

“Sama ada anda suka atau tidak, ia adalah realiti. Anda boleh mengiktiraf fakta ini, kita boleh bergerak ke hadapan dengan keyakinan yang lebih, menentukan keutamaan kita dan teruskan dengan keyakinan.

“Terdapat cakap-cakap mengenai sama ada perikatan ini atau ‘perikatan tidak suci’, ia adalah negara bebas, rakyat boleh kritik saya.

“Tetapi realitinya, tada sesiapa menjangka sebelum pembentukan kerajaan ini bahawa ia akan stabil, khususnya antara tiga komponen utama, PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional) yang dipimpin UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sudah pasti hubungan dengan parti yang lebih kecil,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Minum Petang Bersama Diaspora Malaysia di Thailand, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, selain beliau, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bukannya Timbalan Perdana Menteri yang normal yang mana beliau mempercayainya untuk melaksanakan tanggungjawab.

“Kini kita mempunyai peluang, apa sahaja mereka mungkin berkata-kata menentang saya dan rakan-rakan saya, satu perkara yang saya tidak akan berkompromi. mereka yang akan memastikan Malaysia ditadbir dengan baik, bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia

“Inilah mengenai Madani untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar memberitahu, kerajaan yang ditadbir urus dengan baik tidak akan berkompromi dengan rasuah.

Katanya, Malaysia adalah sebuah negara yang hebat yang mana ia mempunyai bangsa Melayu, China, India, suku kaum Sabah dan Sarawak yang berkebolehan.

Katanya, seorang pemimpin yang tidak baik tidak akan dapat bertahan dalam dunia yang serba kompetitif kerana menggunakan isu perkauman dan agama.

“Kita semua mahu mencapai sesuatu dalam hidup kita. Untuk negara ini, untuk Malaysia, saya percaya negara ini dan rakyat layak mendapat yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast