Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Rakyat akan diberi peluang untuk memberikan penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada Ketua Setiausaha Kementerian (KSU).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, cara dan kaedah penilaian sedang dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysin dan Jabatan Perangkaan.

Katanya, kewujudan KPI itu selaras dengan KPI Madani yang dikenakan terhadap anggota Jemaah Menteri.

“Kita akan perincikan lagi perkara ini selepas ini. Sebab itu KPI yang akan dilaksakan ini berdasarkan kehendak pemegang taruh memastikan pencapaian dihasrat oleh rakyat.

“Saya telah beritahu kepada beberapa kementerian persepsi rakyat akan dijadikan fokus utama. Sebab itu rakyat akan menilai kejayaan, pencapaian dan usaha kementerian,” kata Mohd. Zuki.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara yang berlangsung di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani, Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Mohd Zuki menegaskan setiap laporan KPI perlu bersifat realistik.

Ini kerana berdasarkan pengalaman lalu, terdapat pihak yang menghhantar laporan KPI bersifat ‘syok’ sendiri.

“Saya telah terima 100 KPI tetapi kadang-kadang syok sendiri. Bilangan mesyuarat yang diadakan untuk menyelesaikan masalah.

“Memanglah mesyuarat banyak boleh buat. KPI dia tercapailah sebab dia buat mesyuarat 10 kali tetapi masalah tidak selesai. Mesyuarat selesailah.

“Jadi kita jangan nilai diri sendirilah. Tak payah fikir. Ada satu kes itu 107 peratus pencapaian dia. Saya pun tak tahu apa yang dia buat. Kita akan ubah cara kita menilai,” kata Mohd. Zuki.

Pada majlis itu beliau turut memperkenalkan GREAT untuk dipraktikkan oleh penjawat awam.

GREAT katanya, menyokong konsep Malaysia Madani yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia melibatkan Tadbir urus terbaik (Good Governance), Bertanggungjawab (Responsible), Ihsan (Empathy), Kebertanggungjawaban (Accoubtable) dan Fokus pada matlamat (Tenacity of Purpose).-MalaysiaGazette