shaiful hazizy zainol abidin Mou REE sindiket
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa, ada pihak tertentu yang cuba melindungi sindiket penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram.

Beliau membuat dakwaan tersebut ekoran seorang warga asing yang didapati melakukan kesalahan tersebut sebelum ini hanya dikenakan kompaun kecil sebanyak RM500,000 oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah serta RM130,000 oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sedangkan hasil yang disyaki dicuri mungkin bernilai jutaan ringgit.

Shaiful Hazizy berkata, individu terbabit juga tidak dikenakan tindakan mahkamah sekali gus menyebabkan perbuatan jenayah itu kekal rancak akibat tindakan undang-undang yang lemah.

“Saya yakin, kumpulan warga asing ini ‘terlajak berani’ serta besar kepala hingga berkali-kali melanggar undang-undang, menghantar puluhan tenaga buruh, jentera-jentera berat yang mahal seolah tidak takut sekiranya dirampas atau disita pihak berkuasa kerana mereka mendapat ‘lesen besar’ daripada pihak tertentu.

“Dalam situasi ini, ia dilihat memberikan suasana yang sangat selesa dan kondusif kepada si penceroboh dan si pencuri REE untuk menyamun lebih banyak REE supaya dapat dieksport balik ke negara asalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga bimbang kegagalan kerajaan Kedah mengambil tindakan undang-undang akan menyebabkan mereka yang terlibat dalam penerokaan REE secara haram akan menjadi besar kepala dan terus mencuri kerana merasakan mereka kebal dan bebas untuk menyamun dan merompak.

Shaiful Hazizy berkata, siri tangkapan terbaharu yang melibatkan puluhan tenaga kerja warga asing yang disyaki melakukan penerokaan REE secara haram adalah sangat mengecewakan rakyat Kedah terhadap kaedah kerajaan negeri menjaga hasil bumi.

“Selaku pihak yang memegang kuasa tertinggi negeri di Kedah, kecurian REE yang berlaku berkali-kali seolah isu ini dipandang remeh oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sering digambarkan konon seorang pemimpin yang prihatin kepada setiap permasalahan di negeri ini.

“Kecurian yang berlaku sekian lama dalam skala yang besar itu turut menggambarkan seluruh jentera penguatkuasaan undang-undang sama ada kerajaan negeri, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perhutanan atau PTG sangat lemah dalam usaha mengawal sumber alam bernilai tinggi itu meskipun disedari penduduk tempatan di sekitar kawasan terbabit,” dakwanya.

Beliau juga mempersoalkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai baru-baru ini yang seolah-olah menggalakkan aktiviti melibatkan REE di Kedah walaupun tanpa prosedur operasi standard (SOP) daripada kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan.

“Secara peribadi, saya khuatir ada ‘bangkai yang sangat membusuk’ yang cuba disembunyikan di Wisma Darul Aman. Namun ‘bangkai’ tersebut masih belum dapat dikesan, dilihat dan dibuktikan dengan jelas.

“Pesan saya, berhati-hatilah kerana ramai yang sudah dapat menghidu ‘bau bangkai’ tersebut dengan jelas, hanya menunggu masa untuk dirungkai sahaja,” katanya.

Pada masa yang sama, Shaiful Hazizy mencabar Muhammad Sanusi untuk menafikan bahawa syarikat yang menandatangani MoU bersama kerajaan negeri Kedah baru-baru ini langsung dan sama sekali tidak terlibat dengan kes pencerobohan dan kecurian REE tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast