BANGKOK – Suasana perbincangan mengenai konflik selatan Thailand kini lebih positif dengan kesediaan negara itu untuk mendengar dan menyelesaikannya dengan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kini rakan sewajat beliau, Jeneral Prayuth Chan o-cha dilihat lebih bersedia yang mana isu tersebut tidak boleh disentuh suatu ketika dahulu.
“Sekarang nampak terbuka, kita bincang dengan baik. (Namun) tak boleh selesai peringkat itu saja, tentera, polis, ketua ugama, masyarakat, pendidikan, risikan, NGO, kita rancang supaya sampai ke bawah jaringan itu kuat (kukuh).
“(Kita) lihat lihat ada suasana positif, untuk dengar dan selesaikan dengan baik,” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan beliau ke Thailand, hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk menyelesaikan konflik tersebut namun perlu diingat bahawa ia merupakan wilayah Thailand yang terdapat sensitiviti mengenainya.
“Hakikatnya mereka bersedia untuk mendengar, terbuka kepada perbincangan dengan kita, ia adalah isyarat yang sangat-sangat positif. Apa lagi yang perlu kita lakukan?,” ujar beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri yang berpuas hati dengan lawartan beliau ke Thailand berkata, selain konflik selatan Thailand, Malaysia turut membincangkan soal ekonomi, pelaburan dan kerjasama dua hala.
Malah katanya pada minggu depan terdapat rombongan yang secara khusus datang ke Thailand untuk melabur.
“Saya puas hati, Menteri Luar tak tahu macam mana. (Lawatan ini) pendek, lawatan satu malam termasuk jumpa orang agama Islam, solat Jumaat, berbincang dengan mereka.
“Yang umumnya soal ekonomi, soal pelaburan, kerjasama dua hala, dunia sekarang, ekonomi itu juga asas, beri pekerjaan masalah rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette