KUALA LUMPUR – Dalam keadaan dunia yang penuh persaingan bukan mudah untuk mencari pekerjaan.
Banyak resume dihantar kepada syarikat sama ada melalui pos atau emel namun bagai menunggu buah yang tidak jatuh. Tidak ada jawapan.
Bagaimanapun hanya dengan selangkah kaki masuk ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pelbagai peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor terbuka luas.
Pengalaman itu dialami sendiri oleh pemuda berusia 21 tahun Duan Nurraziq Badrul Rizal tahun lalu.
Puas mencari kerja melalui iklan namun rezeki anak kedua daripada enam beradik itu akhirnya membuahkan hasil di Karnival Kerjaya MYFutureJobs Perkeso yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor.
Bekas pekerja di sebuah restoran makanan di Shah Alam itu berkata, karnival kerjaya Perkeso bagaikan lubuk pekerjaan kerana dalam tempoh satu hari dia berpeluang ditemuduga secara langsung di 10 buah syarikat.
Hasil temuduga tersebut beliau kini memperoleh pekerjaan sebagai pembantu jualan di sebuah syarikat pakaian antarabangsa, Uniqlo di Bukit Bintang.
“Agak susah nak cari pekerjaan. Sebelum ini saya ada mohon pekerjaan di kedai-kedai lain tapi tak dapat sebarang balasan. Kemudian saya ternampak iklan karnival kerjaya Perkeso di media sosial dan saya mencuba nasib.
“Karnival ini menawarkan banyak pilihan pekerjaan. Mereka terangkan bidang tugasan. Kemudian ditemuduga secara langsung. Petugas Perkeso dan syarikat yang membuka booth sangat membantu mereka yang mencari kerja.
“Alhamdullilah pekerjaan ini memberikan rezeki yang mencukupi untuk menyara diri sendiri dan beri sedikit kepada ibu bapa,” katanya yang masih bujang dan menyewa bilik di ibu negara.
Pemegang diploma Teaching English as a Second Language (TESL) itu berkata, peluang pekerjaan tersebut sangat membantu dalam mengukuhkan kerjayanya pada masa depan.
Sementara itu menurut Ketua Pegawai Sumber Manusia Habib Group Loganathan B, Karnival Kerjaya MYFutureJobs Perkeso sememangnya menjadi medan untuk para majikan mencari pekerja yang berbakat.
Syarikat itu sendiri merupakan pelanggan tetap karnival kerjaya berkenaan untuk mendapatkan pekerja yang berkualiti terdiri kalangan lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi.
Tambahan menurut beliau, ada kalangan yang mencari pekerjaan ini merupakan mereka yang kehilangan sumber pendapatan disebabkan syarikat ditutup semasa pandemik Covid-19.
“Ada orang yang mempunyai pengalaman luas dan kelayakan tinggi tapi sukar untuk mendapat pekerjaan.
“Seperti lepasan sekolah dan IPT banyak syarikat akan menawarkan program latihah kepada mereka.
“Jadi karnival kerjaya seperti ini menawarkan peluang yang besar untuk mereka kerana temuduga dilakukan secara terus,” kata Loganathan.
Tambah Loganathan, mereka yang hadir ke karnival kerjaya Perkeso boleh memilih bidang pekerjaan yang mereka gemari kerana ia disertai pebagai sektor seperti korporat, hotel, peruncitan dan banyak lagi.
Beliau memberi tips kepada bakat yang hadir supaya membawa resume yang telah dikemaskini, sijil dan dokumen berkaitan serta berpakaian kemas mengikut bidang pekerjaan yang mereka mahukan.
Selain menyediakan peluang pekerjaan Perkeso turut melindungi suri rumah melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah.
Skim tersebut menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan wanita daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Seorang waris R. Rajeshwary, 32 yang tinggal di Bahau, Negeri Sembilan berkata, melalui skim itu, keluarga menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 setelah mendiang ibunya M. Anjali, 51 selepas meninggal dunia Disember lepas.
“Ibu saya dimasukkan ke hospital kerana lebihan asid dalam darah. Beliau meninggal dunia ketika mendapat rawatan.
“Wang yang diterima hasil skim Perkeso sangat membantu. Saya gunakan wang tersebut untuk membayar sewa rumah ibu yang masih berbaki.
“Saya berpendapat skim ini sangat bagus untuk suri rumah kerana ia melindungi mereka walaupun tidak bekerja. Mereka ada wang ketika ditimpa bencana. Saya sudah beritahu jiran mengenai skim ini,” kata Rajeshwari yang juga seorang suri rumah.
Sementara Shafie Apendi, 64, yang menerima wang pampasan hasil caruman SKSSR bagi pihak arwah isterinya, allahyarhamah Che Tom Lah, 51, turut berpendapat skim berkenaan amat berguna kepada suri rumah.
“Sedikit sebanyak meringankan beban kepada waris. Isteri saya menderita radang sendi. Beliau meninggal Disember tahun lepas,” kata Shafie yang merupakan seorang nelayan di Kuala Bangka, Kota Sarang Semut, Kedah.
Beliau yang berpendapatan tidak tetap antara RM700 hingga RM800 sebulan mempunyai tiga orang anak dengan seorang yang berusia 17 tahun masih bersekolah.
Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah & Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 anjuran Perkeso akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Februari 2023.
Semua wanita warganegara Malaysia dan pemastautin tetap berpeluang mendaftar untuk dilindungi dan lebih 13,000 peluang pekerjaan menanti anda.
Daftar sekarang di myfuturejobs.gov.my/careerfair.-MalaysiaGazette