Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUANTAN – Peraturan khusus berkenaan pergerakan perolehan dana dalam kalangan parti-parti politik atau Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat segera, kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Jelas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, ia penting bagi memastikan ketelusan sumber perolehan sekaligus menyelesaikan isu berkaitan kewangan yang sering dijadikan modal dalam berpolitik.

“Jadi tak payah bising-bising orang ini dapat berapa, cari di mana (dana). Semua orang tak tahu orang lain dapat duit dari mana.

“Semua parti cari duit. Jadi, mesti ada peraturan untuk menentukan nak dapat duit itu dari mana,” katanya dalam sidang media  di sini hari ini.

Tambah Saifudin, begitu juga keperluan peraturan tetap yang membabitkan kaedah dan jumlah pengagihan peruntukan dana daripada kerajaan kepada setiap ahli Parlimen juga perlu diputuskan.

“Kemudian peruntukan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat. Bagaimana diagihkan. Adakah melibatkan pembangkang atau tidak. Kemudian, dia punya jumlah, adakah berdasarkan per kapita. Sebab kerajaan lepas pun macam-macam.

“Ada masanya Kabinet putuskan semua ahli Parlimen kerajaan akan dapat RM1 juta setahun. Ada masa, Kabinet putuskan tengok ahli Parlimen itu berapa dia punya pengundi.

“Jadi ada yang RM1 juta, ada yang RM1.5 juta. Ada yang RM2 juta.

“Jadi, bergantung kepada Kabinet. Saya fikir, kalau kita nak bagi reformasi politik, kita kena bincang betul-betul benda ini,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota.

Untuk rekod, pada Ogos tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penggubalan RUU Pendanaan Politik akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 3 Oktober hingga 29 November lalu.

Bagaimanapun, pada 10 Oktober 2022, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.