Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua pihak khasnya dalam industri pekerjaan perlu berhenti menggunakan cara lama seperti 10 atau 20 tahun lepas sebaliknya mula meneroka kaedah baharu andainya mahukan kemajuan diri dan negara.

Kata Anwar, hanya perubahan seperti ini sahaja mampu membawa kepada produktiviti serta keuntungan sekali gus membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju dalam tempoh beberapa tahun terdekat.

Jelas beliau, ketika ini pelbagai krisis global sedang berlaku dan tempiasnya turut dirasai oleh rakyat di negara ini.

“Apabila ada peperangan Ukraine-Russia, malapetaka gempa bumi di Turkiye dan Syria, peperangan dan serangan golongan pengganas, ditambah ketegangan hubungan Amerika Syarikat-China, sudah tentu akan ada tempiasnya kepada negara kita. Lebih lagi, kesan Covid-19.

“Kita semua perlu terima kenyataan, kalau kaedah kerja kita masih sama seperti 10 atau 20 tahun lalu, maka tidak mungkin kita akan mencapai apa-apa pembaharuan dan perubahan.

“Jika ada kerosakan yang berlaku, semua pihak kena manfaatkan perkara itu dengan lebih kreatif, berdaya cipta dan berusaha, merobohkan yang lama dan rosak serta menggantikan dengan yang baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Kata Anwar lagi, sepatutnya masa untuk ‘tunggu dan lihat’ sudah berlalu sebaliknya semua peluang perlu direbut sebaik mungkin dengan meningkatkan kecekapan dan kepantasan bekerja sebagai contoh.

Jelasnya rakyat Malaysia tidak kira majikan atau pekerja perlu bersama-sama meningkatkan kecekapan dan daya saing negara. Kini, kita kalah dari segi persaingan dengan Vietnam, Myanmar dan Indonesia.

“Ketika lawatan saya ke Bangkok kelmarin, saya lihat mereka sudah jauh ke hadapan terutamanya dalam soal digitalisasi, kenderaan elektrik (EV) dan pengangkutan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar seperti tidak lupa untuk menyentuh isu rasuah apabila menekankan kepentingan menolak budaya salah guna kuasa dan penggunaan politik untuk mengumpul kekayaan diri dan keluarga.

“Semua orang perlu keras dan tegas dalam isu rasuah dan intergriti. Saya dengan tegas dan keras serta tidak peduli pandangan sinis dan serangan ke atas saya dalam soal ini.

“Saya dan rakan Kabinet mahu menyelamatkan negara. Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengangkat martabatnya sebagai sebuah negara yang maju di rantau ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette