Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Meskipun Menteri Pendidikan ‘mengakui’ kelemahan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) yang tidak berfungsi dengan baik dan mengarahkan ia terpasa ditutup sementara waktu namun timbul persoalan mengapa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil masa lama untuk membuat keputusan berkenaan.

Bayangkan perit jerih para guru yang cuba mengisi SPPB sepanjang hari sehingga lewat malam, sehinggakan sejak seminggu lalu, slogan ‘guru bahagia’ menjadi lucuan para guru sebagai bahan melepas geram.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, keputusan Fadhlina Sidek mengarahkan SPPB ditutup, walaupun terlambat adalah langkah baik tetapi tetap mengikis kepercayaan guru pada pemimpin KPM.

”Guru menyoal, bukankah sudah banyak kali dari pengalaman lepas yang membuktikan server dan sistem dalam talian milik KPM memang akan sesak teruk apabila guru-guru secara serentak perlu memasukkan data.

”Masalah kali ini bukanlah berlaku untuk kali pertama. Masalah ini memang sudah dijangkakan. Beberapa minggu lalu, saya juga telah menulis tentang kebimbangan guru-guru akan berlaku kesesakan sistem SPPB,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Anuar berkata, KPM sepatutnya sudah bersedia dengan plan B sejak seminggu yang lalu, sayangnya itu tidak berlaku.

”Hanya setelah para guru bersuara lantang, marah-marah dan mendesak supaya SPPB-IDME ditangguhkan barulah sekarang diambil tindakan oleh YB Menteri Pendidikan,” ujar beliau lagi.

Sedangkan, jika server KPM yang bermasalah, sepatutnya kementerian berkenaan yang bertanggungjawab memaklumkan kepada Menteri Pendidikan lebih awal, apakah yang sepatutnya dilakukan.

”Adakah perlu disegerakan naik taraf atau ditangguh buat sementara waktu kemasukan data ke dalam sistem SPPB- IDME. Jika telah dimaklumkan pada Menteri, mengapa pula masih berlaku kesesakan sistem SPPB?,” kata beliau lagi.

Tambah Anuar, walaupun ini bukan kelemahan dari ‘air tangan’ Fadhlina tetapi beliau perlu warisi daripada kepimpinan lalu.

”Tetapi alasan itu sukar untuk ditelan bulat -bulat oleh rakyat khususnya para guru. Tentulah bila sudah dilantik sebagai menteri, terpaksalah ambil semua tanggungjawab.

”Saya simpati dengan YB Menteri Pendidikan. Sebenarnya, bukan kelemahan beliau sepenuhnya. Ini adalah kelemahan pihak pengurusan KPM. Tak kanlah Menteri Pendidikan pula yang perlu menjaga sistem SPPB.

”Tentulah ada pengarah bahagian teknologi sistem di KPM dan kakitangan yang bertanggungjawab menyelia kelancaran SPPB,” menurut beliau.

Namun, kata Anuar, akhirnya, Menteri Pendidikan sebagai orang nombor satu KPM terpaksa membuang ego sendiri dengan memohon maaf kepada seluruh warga guru atas kelemahan pengurusan KPM.

Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar, permohonan maaf beliau adalah sesuatu yang cukup mulia kerana mengakui kelemahan diri sendiri bukanlah sesuatu yang mudah.

Apa lagi permohonan maaf itu datangnya dari seorang berjawatan Menteri Pendidikan,” katanya.

Tetapi dalam politik pula, situasi ‘permohonan maaf’ ini nampaknya tidak menyebelahi Fadhlina.

Sebaliknya, permohonan maaf itu akan membuka ruang kepada musuh politik untuk dijadikan ‘peluru’ mengukuhkan lagi persepsi rakyat tentang ketidakupayaan dan kelemahan beliau untuk terus memimpin KPM. – MalaysiaGazette

SPPB ditutup hujung minggu ini tapi guru masih tak puas hati