AMPANG – Dua kanak-kanak lelaki yang bermain berhampiran longkang berakhir dengan tragedi apabila mereka dipercayai lemas selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras di Jalan Ukay Perdana di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, kedua-dua mangsa itu masing-masing berumur lapan dan 10 tahun.
Katanya, bilik gerakan operasi telah menerima panggilan mengenai insiden tersebut pada jam 4.44 petang tadi sebelum satu pasukan anggota dengan sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian lemas itu.
Kedua-dua mangsa difahamkan sedang bermain di tepi longkang sebelum dikhuatiri terjatuh ke dalam longkang tersebut yang dipenuhi air dan hilang dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat.
“Mayat mangsa pertama dikenalpasti sebagai Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan berusia 8 tahun dijumpai sekitar jam 6.30 petang tadi pada jarak lebih kurang 200 meter dari lokasi asal kejadian itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pasukannya kini mempergiatkan usaha untuk mengesan mangsa kedua Muhammad Rizqullah Mohd Shafie berumur 10 tahun yang dilaporkan masih hilang.
Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa kanak-kanak itu telah dihentikan jam 8.15 malam tadi dan akan disambung semula jam 8 pagi esok.- MalaysiaGazette