BANGKOK – Konflik di selatan Thailand menjadi tumpuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan kerja ke negara itu yang berakhir semalam.
Pada setiap majlis yang dihadirinya, tidak kira rasmi atau tidak rasmi, topik tersebut dibangkitkan kerana konflik yang telah berlarutan sejak sekian lama sedikit sebanyak memberi kesan kepada Malaysia.
Malah Anwar menganggap pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya, Jeneral Prayut Chan o-cha bukannya sesi diplomatik biasa.
“Sesi diplomatik membenarkan kami, dua Menteri Luar untuk bercakap,” katanya pada sidang media bersama kedua-dua pemimpin itu.
Kini pentadbiran Prayut lebih terbuka untuk membincangkan perkara yang dilihat sensitif untuk diutarakan sebelum ini.
Bagaimanapun Malaysia menyedari hadnya sebagai negara jiran, namun dengan keazaman politik yang ada tidak mustahil konflik yang telah berlanjutan selama dua dekad dapat ditamatkan
“Kita tak setuju dengan keganasan, tetapi kita kena dengar juga kerunsingan, kegelisahan rakyat di sana tentang hak mereka, agama dan budaya mereka.
“Harus ada saling hormat, menghormati. Kita sebagai satu negara, tak boleh campur urusan dalam negera Thailand,” ujarnya.
Walaupun konflik tersebut menjadi tumpuan namun hubungan dua hala pelbagai aspek turut menjadi keutamaan Perdana Menteri.
Sebanyak empat memorandum persefahaman (MoU) membabitkan bidang tenaga dan ekonomi digital dimeterai selepas Anwar dan Prayut mengadakan pertemuan di Goverment House.
Keutamaan turut diberikan dalam aspek ekonomi, pembangunan, isu berkaitan perdagangan termasuk pembangunan sempadan menerusi perbincangan yang diadakan.
Seperti lawatan ke luar negara sebelum ini, Anwar mengambil peluang berjumpa penduduk tempatan dan dalam lawatan kali ini beliau sempat menunaikan Solat Jumaat di Pusat Islam Thailand.
Kehadiran Perdana Menteri disambut baik masyarakat setempat apabila mereka berkerumun mengelilingi beliau untuk bersalaman selepas solat.
Menerusi ucapannya, Anwar mengingatkan umat Islam agar menjaga akhlak yang baik, selain menyentuh tentang isu di selatan Thailand.
Tidak habis di situ, sebahagian jemaah menunggu di luar dewan ketika Perdana Menteri bertemu Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat Islam itu bagi mengetahui apa yang disampaikan kepada AJK itu.
Daripada aspek lain, pertemuan dan majlis yang dihadiri Perdana Menteri di Thailand boleh dikaitkan dengan memperbaiki kehidupan manusia.
Bermula dengan majlis Minum Petang Bersama Diaspora Malaysia, Anwar menyatakan tentang rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang baik sehingga majlis terakhir di pusat Islam Thailand, Perdana menyentuh tentang usaha menamatkan konflik di selatan negara yang dilawatinya itu.
Ia merupakan lawatan singkat, dua hari satu malam, yang produktif. – MalaysiaGazette