Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – DAP mempunyai cara tersendiri untuk menangani isu yang membabitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau menghormati gesaan pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) supaya tindakan diambil terhadap Ramasamy berhubung kenyataannya itu.

Katanya, DAP akan menggunakan saluran dalaman dan pendekatan sendiri dalam menangani isu berkenaan.

“Apa sahaja pandangan yang dibuat oleh rakan-rakan (sekutu), saya berterima kasih kepada mereka.

“Tetapi DAP ada cara kita sendiri dalam menangani isu dalaman kita,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab gesaan beberapa ahli politik agar dipecat berikutan kenyataan kontroversinya mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecahkan monopoli orang Melayu dalam sektor awam.

Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar, digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Dalam pada itu, Anthony Loke turut mengingatkan pemimpin DAP mengenai perubahan dan peranan mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Menurutnya, tiada guna ahli dan pemimpin parti mencipta kontroversi kerana ia tidak akan membawa mereka ke mana-mana.

“Pada saya, jika ada mana-mana pemimpin yang menimbulkan polemik dalam masyarakat kita, terutama setelah memahami suasana politik negara, mereka bersikap tidak produktif.

“Ia sama sekali tidak produktif dan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Jadi inilah yang saya maksudkan tentang mengubah minda kita,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya pada pelancaran konvensyen berkenaan, Anhony Loke menegaskan, perkara sama apabila mengingatkan pemimpin DAP bahawa mereka kini sebahagian daripada kerajaan.

Justeru beliau berkata, mereka mesti menyesuaikan diri untuk menjadi parti pemerintah termasuk mengubah minda sebagai pembangkang yang telah terbiasa dengan parti itu sejak beberapa dekad lalu.

“Kita pada hari ini tidak boleh lagi bertindak sebagai sebuah parti pembangkang kerana kita adalah parti kerajaan, parti yang memerintah, bukan saja di peringkat persekutuan, malah kebanyakan negeri. Jadi paradigma kita mesti berubah.

“Kerana peranan parti kerajaan adalah tadbir negara, selesai masalah kepada masalah-masalah yang timbul. Tak cukup lagi hanya untuk menyatakan masalah, bangkitkan masalah,” tambahnya. – MalaysiaGazette