Rakaman dron MalaysiaGazette menunjukkan tanah adat Orang Asli suku kaum Semai yang didakwa telah diceroboh dengan aktiviti ‘mencuri’ pasir di Kampung Sungai Cincin, Tapah, Perak. Foto MUHD NA’IM, 12 FEBRUARI 2023.

TAPAH – “Cukuplah ceroboh tanah adat yang berkurun dari nenek moyang kami ini. Sudah ceroboh, curi pasir pula. Hentikan!”.

Itu suara penduduk Kampung Sungai Cincin yang menggesa pihak bertanggungjawab menghentikan aktiviti mencuri pasir di tanah adat mereka.

Wakil penduduk, Azmi Bahkacang berkata, keluhan mereka sejak tahun 2018 itu tidak pernah dilayan oleh mana-mana pihak walaupun laporan rasmi telah dibuat.

“Laporan dan memorandum pertama kali kami serahkan pada 2018 kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang baru menjadi Menteri Besar Perak ketika itu.

“Seingat saya penghujung tahun 2017 hanya ada beberapa lori pasir masuk tapi pada pertengahan 2018, projek curi pasir itu mula rancak sehingga ganggu kehidupan kami sampai memaksa kita bertindak,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Azmi Bahkacang

Susulan memorandum itu, Azmi memberitahu bahawa projek berkenaan telah dihentikan sementara, namun tidak lama kemudian ia kembali beroperasi dengan lebih rancak sehingga ke hari ini.

Katanya, kampung yang didiami hampir 400 penduduk Orang Asli suku kaum Semai itu dahulunya tenang, namun kini diancam dengan pencemaran bunyi, udara dan sungai.

Mana tidaknya, saat lena dibuai mimpi mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman yang cukup kuat seawal jam 4 pagi apabila projek di bawah kendalian syarikat itu memulakan operasi.

Tinjauan MalaysiaGazette mengesahkan dakwaan itu terbukti apabila bermalam di kediaman salah seorang penduduk yang hanya kurang 500 meter dari tapak pengambilan pasir tersebut.

Bah Onas Hashim

Seorang lagi penduduk, Bah Onas Hashim berkongsi rasa kesal apabila projek itu juga telah menyebabkan aktiviti pencarian ikan di sungai kampung mereka tidak lagi menemui hasil.

“Projek pasir itu hampir sangat dengan sungai kami. Sungai kami makin cetek sebab pasir jatuh ke sungai dan mendap sampai air jadi keruh.

“Air sungai itu juga ada bau diesel dan ketara nampak tompokan minyak sebab mesin tapis pasir itu memang menghala ke parit yang melalui ke sungai-sungai kami,” ujarnya.

Keadaan air sungai yang berbau seakan minyak diesel di kawasan sekitar projek pasir tersebut.

Jelasnya, penduduk juga terpaksa berdepan dengan persekitaran udara tidak sihat apabila debu-debu pasir ‘berterbangan’ sehingga dapat dilihat di pekarangan rumah hampir setiap hari.

Rentetan itu, mereka berharap semua laporan yang dibuat sebelum ini termasuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak serta Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan akan menemui jalan penyelesaian. – MalaysiaGazette